Saturday, February 13, 2021

Cara Membina Kolam Ikan Dibawah 1000 Ringgit

Hobi membela ikan kolam makin diminati oleh orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah teres mahupun banglo. Jika tinggal di apartment atau kondominium, agak suka mencari ruang yang sesuai. Tambahan pula untuk kolam kelihatan cantik, lantai kolam mestilah berada beberapa kaki lebih dalam dari aras tanah.

Ramai peminat ikan koi mengatakan untuk ikan koi membesar dengan baik, kedalaman air merupakan antara aspek penting sewaktu merekabentuk kolam ikan koi tersebut. Kedalaman yang sesuai amat penting untuk pertumbuhan fizikal ikan-ikan tersebut. Air yang dalam mampu menstabilkan suhu air kolam dengan baik dan ini digemari oleh sebarang jenis ikan.

Sebenarnya aku merancang untuk membina kolam ikan sendiri dan untuk tujuan itu, aku telah melayari Youtube untuk melihat apakah bahan yang digunakan dan bagaimana membina kolam ikan koi tersebut. Agak banyak masa juga aku peruntukkan untuk melihat idea-idea kolam ikan minimalis. Aku sukakan reka bentuk kolam ikan minimalis kerana ia lebih mudah untuk diselenggarakan. Terutamanya kurang berlumut, itu yang penting kerana faktor masa perlu diambilkira. Terlalu sibuk dengan urusan kerja ditambah pula urusan pemantauan hal-hal yang berkaitan dengan persekolahan anak-anak, sudah tentulah aku tidak mempunyai banyak masa untuk kerap membersihkan kolam ikan.

Seandainya kita melihat dari sudut artistik, sudah tentulah kolam ikan yang menggunakan reka bentuk semulajadi lebih menarik akan tetapi ia menjadi berserabut jika pokok-pokok disekeliling tidak dijaga dengan baik. Manakala batu-batu yang diletakkan di beberapa bahagian kolam mungkin akan berlumut dengan cepat. 

Berikut adalah video YouTube yang menarik mengenai pembikinan kolam ikan. Ideanya simple dan murah, hanya memerlukan bajet kurang dari RM1000 sahaja.



Langkah pertama yang dilakukan oleh tukang kolam ikan ialah membersihkan tapak binaan kolam. Dalam video tersebut, tukang tidak menggali tapak, mungkin keadaan memaksa beliau untuk tidak menggali lubang. Antara sebabnya mungkin didalam tanah tersebut mempunyai paip air, paip najis yang melintasi tapak kolam.

Tukang tidak menggunakan dinding rumah, sebaliknya membina dinding kolam yang berasingan. Ini satu langkah yang bijak di mana paip-paip air/udara dapat disorokkan dibelakang dinding. Kelebihan yang lain pula ialah jika berlaku masalah kebocoran kolam, perkara ini hanya melibatkan dinding kolam sahaja bukan di dinding rumah. Proses baik-pulih tidak akan melibatkan dinding rumah.

Terdapat saluran air overflow jika berlaku kemasukan air berlebihan contohnya dari air hujan dan lubang bottom drain diletakkan dibahagian tengah kolam. Dibahagian penapis terdapat 3 petak yang bertujuan menapis kekotoran di petak pertama dan kedua. Di petak ketiga diletakkan pam air bertujuan mengepam air naik ke bahagian air pancut.

Berikut adalah kos yang dinyatakan dalam video YouTube tersebut yang berjudul "Kolam Ikan Koi Minimalis 3 Jutaan | Proses dari Awal Sampai Jadi dengan Rincian Biaya".



Wow! Hanya 3.2 juta rupiah Indonesia dan ini bersamaan dengan 938 ringgit Malaysia. Bolehkah dengan kos bahan-bahan yang digunakan dan kos upah tukang sebanyak itu digunakan di Malaysia.

Jawapannya ialah TIDAK. Mana mungkin kos di Malaysia serendah itu. Cuba lihat pada kos upah 950,000 rupiah bersamaan dengan 275 ringgit. Upah tukang untuk 2 orang selama 6 hari, bermakna sehari kos upahnya ialah RM45. Dari jumlah RM45 dibahagi kepada 2 orang dan akhirnya seorang ang menerima upah RM22.50.

Betul ke kiraan kos yang dinyatakan oleh pemilik video YouTube tersebut. Jika kos upah itu benar, maka tidak hairanlah ramai warga Indonesia memilih untuk mencari rezeki di Malaysia dalam sektor pembinaan. Tukang Indonesia jika tidak silap aku bergaji kurang lebih RM90 sehari di Malaysia. Jika 6 hari untuk menyiapkan kolam ikan dengan 2 orang pekerja, ini bermakna kos upah membina kolam ikan di Malaysia ialah RM1,080.

Aku tidak pasti ukuran sebenar kaca yang digunakan. Mengikut kos yang dinyatakan ianya hanyalah RM64. Di Malaysia untuk cermin biasa (bukan tempered glass) berketebalan 10mm untuk saiz 1kaki x 5kaki berharga RM250. Agak murah kos bahan binaan di Indonesia. Jika ada pembaca blog ini yang berasal dari Indonesia, sila komen dan sila sahkan samada benar kos bahan binaan memang begitu harganya di Indonesia.

Walau apapun, pujian harus diberikan kepada pemilik video YouTube tersebut kerana sudi berkongsi tatacara membina kolam ikan beserta dengan paparan kosnya. Setidak-tidaknya pembaca blog ini dapat sedikit idea membina kolam ikan dan menyediakan bajet yang bersesuaian dengan bahan binaan yang perlu dibeli.


Tuesday, December 15, 2020

Proses Memasang Pintu Siap Bina

Pintu siap bina ini bermaksud saiznya telah ditentukan oleh kilang yang membuatnya. Kedai yang menjualnya pula mengambil terus dari kilang. Pemasangannya pula dilakukan kontraktor yang dilantik oleh penjual/kilang.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Jika Membeli Pintu Siap Bina?

Anda perlu memecahkan bingkai pintu lama. Jika tiada kemahiran, boleh dapatkan khidmat tukang rumah. Anda perlu nyatakan dengan jelas, keluarkan pintu dengan bingkainya sekali. Selepas pintu siap bina dipasang, kawasan tepi bingkai perlu ditampal dan di plaster. Bingkai pintu yang dikeluarkan tidak boleh digunakan semula kerana memang akan rosak sewaktu proses hacking dinding dibahagian tepi bingkai.

Sekiranya rumah anda masih dalam proses pengubahsuaian, anda perlu memberitahu tukang rumah untuk membuat ruang empat persegi bagi membolehkan pintu siap bina dipasang dikawasan tersebut. Sama seperti proses binaan tingkap, tukang akan membuat petak empat persegi sebelum pekerja kedai cermin tingkap datang untuk membuat ukuran. Pada waktu ini, dinding masih belum di plaster. Ini akan menghasilkan dinding kawasan yang di plaster lebih rata lepaannya, maksudnya tiada kesan sambungan plaster. Sebaiknya buat keputusan samada mahu menggunakan pintu biasa atau pintu siap bina sewaktu proses ubahsuai rumah. Hasilnya lebih kemas dan cantik.

Memilih Saiz Safety Door Yang Sesuai

Terdapat beberapa ukuran standard pintu siap bina, iaitu 3 kaki x 7 kaki, 5 kaki x 7 kaki dan 6 kaki x 7 kaki. Pilihlah saiz pintu yang bersesuaian dengan lebar dinding dan ketinggian paras siling dari lantai.


Kaedah Pemasangan Pintu

Terdapat 2 kaedah untuk pemasangan pintu tidak kira apa jenis pintu sekalipun. Lihat rajah berikut.

Perhatikan pada perbezaan perletakan dasar bingkai pintu yang ditunjukkan didalam gambar di atas yang dilabelkan sebagai A dan B.

Kaedah A menurunkan sedikit bahagian bawah bingkai pintu lebih kurang setengah inci manakala kaedah B, bahagian bawah bingkai pintu mengikut paras jubin lantai dibahagian dalam rumah. Antara tujuan ia diturunkan ialah untuk menghalang air hujan yang mungkin merecik dibahagian bawah pintu. Ia juga dapat mengurangkan risiko dari haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking dari memasuki rumah anda.


Setelah pintu ditegakkan, kontraktor pemasangan akan melakukan kerja-kerja kimpalan untuk memegang badan bingkai dengan dinding pintu. Beberapa wall plug akan dipasang dan beberapa batang besi pendek digunakan untuk diikat pada badan bingkai dengan kepala wall plug melalui proses kimpalan.


Proses seterusnya ialah menampal semula dibahagian sisi-sisi bingkai pintu kiri, kanan dan atas. Penggunaan batu-bata merah yang kering boleh mempercepatkan kerja-kerja tampalan. Batu-bata merah cepat meresap simen yang diikat ke dinding. Setelah itu bahagian tersebut akan dilepakan simen dan diratakan.


Bahagian jubin di kaki pintu akan dipasang setelah kerja-kerja lepaan simen di sekeliling bingkai pintu disiapkan. Proses yang terakhir ialah mengecat dinding yang terkesan akibat kerja-kerja lepaan simen.

Untuk membersihkan kesan-kesan simen di lantai, gunakan sedikit larutan kimia yang boleh dibeli di kedai-kedai hardware. Bancuh dengan air paip dan uji sedikit dibahagian jubin tersebut. Bilas dengan air secepat mungkin kerana larutan kimia ini juga boleh menghakis corak jubin. Berhati-hati bila menggunakan larutan kimia.

Sekian.





Thursday, December 10, 2020

Cara-cara Membuat Pelapik Papan Dart

Bosan dengan melihat penjuru rumah kosong tanpa diisi apa-apa? Nah, nak bagi sikit idea dengan meletak papan dart dibahagian sudut rumah yang difikirkan sesuai. Rasa geram, rasa sunyi, rasa bosan, boleh praktis lontar-lontar dart. Kalau takde pelapik papan dart memang hancurla dinding rumah korang macam kesan-kesan bangunan peninggalan Perang Dunia Kedua.

Bahan-bahan Untuk Pelapik Papan Dart

  • Kayu pallet 13 keping
  • Paku lebih bersaiz 1 inci panjang
  • Gergaji Bermata Tajam
  • Pengorek Kayu
  • Tukul Besi
  • Shellac 1 botol kicap
  • Kertas pasir


Cara-cara Buat Pelapik Papan Dart

  • Tentukan saiz yang dikehendaki. Dalam gambar di atas, 11 keping diperlukan untuk susunan melintang. Ukur lebar mana yang dikehendaki. Tepok dada, ikut suka hati korang lah. Jangan tanya Google, tak payah. Selepas itu potonglah kayu tu samada kiri dan kanan ataupun hanya potong di satu sisi sahaja.
  • Dibelakang kayu pallet papan dart, ada 2 kayu pallet dalam posisi menegak. 2 kayu pallet ini digunakan untuk memaku kayu yang melintang dihadapannya. Letak dan paku dulu, lebihannya nanti boleh dipotong dengan gergaji.
  • Selitkan sebatang kayu pallet dalam kedudukan terbaring untuk meletak barisan dart korang. Paku dengan kemas kerana pallet yang terbaring ni kurang ruang untuk dipaku. Biasanya tukang akan memaku secara condong.
  • Dibahagian papan yang terbaring itu, korek lubang untuk mendirikan arrow darts. Lepas main dart boleh dicucuk atas papan yang terbaring. Jangan menyepah, nanti bini membebel tak sudah-sudah.
  • Kertas pasirkan papan dart secara sederhana untuk mengekalkan corak urat-urat kayu pallet.
  • Sapu shellac jika taknak pun takpe.
  • Siap untuk hidangan pemain-pemain dart.

Ukuran Jarak Papan Dart

  • Dari bahagian tengah papan dart (juga dipanggil bulls eye), tingginya ialah 173cm dari lantai.
  • Dari bahagian muka papan dart sehingga garisan melontar dart, jaraknya ialah 237cm

Peraturan Permainan Dart

  • Lingkaran paling luar memberikan mata berganda 2. Contoh jika dart korang masuk ke lingkaran paling luar yang berlabel 20, maka markah yang dikira ialah 20 X 2 = 40.
  • Lingkaran kedua disebelah dalam memberikan mata berganda 3. Contoh jika dart korang masuk ke lingkaran paling luar yang berlabel 20, maka markah yang dikira ialah 20 X 3 = 60.
  • Lingkaran ketiga pula memberikan mata sebanyak 25.
  • Lingkaran paling dalam (atau bulls eye) memberikan mata 50.
  • Lain-lain kawasan yang bukan dinyatakan di atas memberikan markah mengikut apa yang tertera di papan dart.

Tips Permainan Dart

  • Ramai yang beranggapan bahawa bulls eye adalah markah paling tinggi. Ini adalah salah sama sekali. Markah paling tinggi ialah 20 x 3. Sekiranya 3 dart memasuki lingkaran kedua disebelah dalam, markah terkumpul ialah 20 X 3 X 3 dart = 180

Kaedah Penjagaan Papan Dart

  • Cabut dart dari papan dart selepas bermain. Ini untuk mengelakkan lubang di papan dart menjadi kembang mengikut saiz mata dart. Perlu diingat banyak papan dart yang dibuat dari gulungan kertas yang dimampatkan

Tuesday, January 7, 2020

Cara Mudah Membaiki Roda Autogate


Pernahkah korang mengalami masalah pintu pagar autogate tidak terbuka secara maksimum. Terbuka secara maksimum di sini bermaksud ianya tidak merapatkan dirinya semaksima mungkin sehingga ke lipatan yang berhampiran dengan tembok pagar.


Mungkin sebelum tu eloklah dinyatakan di sini bahawa tutorial ini hanya sesuai untuk pintu autogate yang dilipat 2 dibahagian kiri dan kanan. Dalam erti-kata lain terdapat 4 kepingan pintu iaitu 2 keping dibahagian kiri dan 2 keping lagi dibahagian kanan. Dua keping setiap sisi itu akan terlipat apabila pintu autogate dibuka dengan roda akan bergerak di atas landasan yang biasanya diperbuat dari besi.



Merujuk kepada bahagian bertanda A yang dibulatkan dalam gambar di atas, itu adalah punca kepada masalah autogate tidak terbuka dengan sempurna. Tapak roda dalam label A tidak berpusing dengan kemas menjadikan ia enggan mengikut laluan di landasan. Adakalanya ia menyebabkan roda autogate terkeluar dari landasan. Keengganannya akan menyebabkan korang naik angin bila kereta dah berada di depan pintu autogate dan hujan lebat sedang mencurah-curah diikuti dengan dentuman guruh di langit. Baby pula tengah meraung menangis. Haaa...ko rasa???



Tak payah panggil tukang autogate, buat sendiri lagi puashati. Buat dengan penuh kasih-sayang lagi lama tahannya roda tu. Ha...apalagi, dapatkan la barang-barang seperti dalam gambar di atas tak termasuk roda tu ye.





Angkat pintu autogate untuk mengeluarkannya dari landasan dan umpil pada bahagian yang dilabel "A" dengan skru driver besar. Kalau takut calar bahagian bawah pintu autogate, lapik skru driver dengan secebis kain. Tebal kain hendaklah mengikut kesesuaian jarak roda autogate dengan bahagian bawah pintu. Jika dirasakan agak ketat, gunakan tukul besi untuk menghentam roda autogate. Hentam secara berhemah slow and steady takut nanti roboh pulak pintu tu nanti. Kalau nak lebih selamat, gunakan puller tapi rasanya dengan mengetuk secara perlahan sudah memadai untuk menurunkan roda autogate dari pintu autogate.

Gambar di atas menunjukkan bahagian bawah autogate yang telah berjaya dikeluarkan rodanya. Jelas di situ menunjukkan pintu autogate ini menggunakan bearing. Susah betul nak ambik gambar ni tau. Menonggeng-nonggeng jurukamera. Aduhhh...


 

Begitulah rupa roda autogate yang telah berjaya dikeluarkan seperti didalam gambar di atas. Periksa putaran roda masih elok, tidak berbunyi. Jika berbunyi, sila buka skru tersebut dan gantikan bearing. Bearing tak mahal, boleh dapat dalam RM5 sahaja di kedai hardware. Bawa bearing yang rosak sebagai contoh untuk dapatkan saiz yang betul. Dalam tutorial ini, aku tak bercerita tentang penukaran bearing. Aku pernah tukar bearing roda autogate aku. Jika ada kesempatan akan ku ceritakan di lain artikel. Sabar ye sebab mood menulis ni kadang-kadang ke laut.



Aku percaya batang roda autogate korang berkeladak dengan lapisan minyak dan habuk. Habuk-habuk ini mengeras meliputi batang roda autogate. Itulah puncanya ia tidak berpusing dengan kemas di tapak roda autogate yang terletak dibahagian bawah pintu autogate.

Gunakan kertas pasir dan gosok batang roda tersebut. Jangan gunakan grinder kerana dibimbangi saiz batang roda mengecil. Bila terlalu kecil, ia akan mudah terkeluar dari landasan dan mungkin juga terkeluar dari bahagian bawah pintu. Kertas pasir adalah pilihan yang terbaik di mana korang dapat menggosoknya secara rata mengelilingi batang roda tersebut. Aku menggunakan kertas pasir memang cun hasilnya. Gosok sampai berkilat sehingga licin permukaan batang roda. 

Setelah siap menggosok batang roda dengan menggunakan kertas pasir, letak sedikit gris dibahagian bearing yang terletak dibahagian bawah pintu autogate.
Jangan terlalu banyak gris kerana ia boleh menyebabkan masalah pasir melekat di bearing.
Kemudian masukkan semula batang roda ke dalam bahagian bawah pintu autogate. Jika dimsukkan dan terus jatuh bermakna dah terlebih gosok. Tapi takpe, masukkan aje dan tahan dengan tangan dan kemudian naikkan semula roda ke atas landasan.

Dah tu aje. Pasti korang puashati dengan hasil kerja tangan korang. Kerja kemas dan kos pun rendah. Pastikan simpan balik tools yang korang gunakan kalau taknak telinga korang sakit mendengar leteran bini korang.

Selamat bertukang!










Tuesday, May 16, 2017

Kotak Kawalan Auto Gate

Kali nak bercerita pasal kotak kawalan auto gate pulak. Cerita ni tak menarik tapi boleh la dijadikan pedoman buat semua.

Masa aku rennovate rumah aku dulu, aku beli armoured cable 12 core dan tanam dalam lantai dari luar (dari kotak tu la) masuk ke rumah. Dalam rumah ada suis-suis untuk hidupkan lampu tembok, tiang dan loceng rumah.

Mengikut kata wireman waktu itu, beli kotak plastik bersaiz lebih kurang dalam gambar tu la (kotak yang bawah tu). Dijangkakan cukup besar la untuk masukkan papan litar auto gate beserta dengan komponen-komponennya yang lain seperti bateri, transformer dan sebagainya. Bateri pun boleh tahan la saiznya, lebih kurang saiz bateri motor berkuasa tinggi.

Tengok dulu gambar dibawah ni sebagai rujukan. Tengok dan fokus ye.


Bila kontraktor auto gate datang, dia kata kotak tu tak boleh guna, reasonnya :

  • saiz tak ngam maaa....
  • komponen susah nak attach pada kotak sebab kotak yang didatangkan khas dengan auto gate mempunyai binaan tingkat-tingkat yang akan dipasangkan skru padanya. Macam susah kan nak faham. Tapi tengokla pada bahagian dalam kotak tu. Nampak tak, ada 2-garis baris melintang dan menegak. Skru akan ditembak ke alur tu lah untuk memegang komponen yang dilekatkan.

Kesimpulannya, jangan pasang kotak besar macam aku tu. Longgokkan kabel dalam kotak kecil yang macam dalam gambar tu (soket 3-pin). Kalau tak berkotak tak boleh la pulak, nanti ada yang kejang keras kat situ pulak. Dah semua wayar terjongol memang mengundang bahaya la kan.

Waktu kontraktor pasang auto gate, dia akan buka kotak kecil dan pasang kotak dia atas lokasi kotak kecil yang dibuang tu. Ini kita cerita jika guna kotak kecil untuk longgokan kabel. Nampak la kemas, satu kotak besar yang auto gate punya je kat dinding tu. 

Masalahnya sekarang, aku dah dua kotak. Hahaha.... Tapi takpe, untuk menutup kotak bawah tu dengan kotak kawalan auto gate, aku akan pasang satu kotak kayu yang besar menutupi kedua-duanya. Lagipun, selamat sikit dari pecah dihentam bola anak-anak aku. Nanti dah siap kotak tu, aku post gambar kat sini. Ntah-ntah ada yang order lak nanti.


Tuesday, March 21, 2017

Cara Hias Bilik Tidur Yang Sempit

Seringkali dekorasi bilik tidur dipinggirkan kerana ada yang berpendapat... "Alah...bilik tidur aje pun, siapa yang masuk tidur?"
Sebenarnya bilik tidur amat penting, di situlah anda menghempaskan badan untuk berehat dari kepenatan setelah seharian bekerja.



Bilik tidur yang kemas dan menarik mampu meningkat semangat seseorang dan mendamaikan fikiran yang kusut. Dahla di pejabat anda stess dari pagi hingga ke petang dan masuk ke bilik tidor pulak, nampak jemu dengan persekitaraannya. Adakah itu yang idamkan?

Keluarkan sedikit modal dan padankan la susun-atur perabot mengikut bajet anda. 


40 Idea Dekorasi Ruang Tamu

Saksikan 40 idea dekorasi ruang tamu yang pasti membuka minda anda semua. Kadangkala idea ringkas yang kita tidak terfikir pada awalnya kita juga mampu lakukannya tanpa khidmat pereka dalamam professional.



Elakkan dari meletakkan rimbunan perabot diruang yang kecil. Ramai yang telah mempraktikkan konsep minimalis dalam penataan perabot mereka. Kecil, kemas, menawan dan bergaya.

Jika perlukan pandangan dari mereka yang arif, anda disarankan ke IOI City Mall untuk mendapatkan khidmat rundingan dekorasi melalui program Build Your Dream Home With HomePro.

Monday, March 20, 2017

Build Your Dream Home With HomePro

Melihat dari tajuknya sahaja membuatkan hati membuak-buak untuk membina rumah idaman berdasarkan kepada bajet yang ada. Ramai yang gemar melihat sendiri actual products yang akan dipasang di rumah mereka. Untuk itu, disarankan untuk pergi ke pusat pameran HomePro yang ada di IOI City Mall, Putrajaya. Di sini, dipamerkan barangan rumah yang merangkumi peralatan bilik mandi, kabinet dapur, perabot dalam bilik, perabot ruang tamu, ruang keluarga, ruang makan dan juga peralatan dapur.

Pendek kata, didalam satu tempat, anda dapat lihat ke semua barang yang diperlukan untuk menghias rumah anda. Konsep peralatan yang sama seperti IKEA, menampilkan rekaan gaya moden dan ekslusif. Harga yang ditawarkan lebih kurang sama dengan IKEA, sebaiknya beli barangan sewaktu musim promosi. Memang murah dan berbaloi membeli pada harga promosi. 

HomePro IOI City Mall

Lot AT-2, Lower Ground Floor,
IOI City Mall,
Lebuh IRC, IOI Resort City,
62502, Putrajaya, Sepang,
Selangor



Ibu Pejabat HomePro Malaysia

Home Product Center (Malaysia) Sdn Bhd
Unit 5F-1A, 5th Floor,
Tower 1 (PFCC),
Jalan Puteri 1/2, Bandar Puteri,
47100, Puchong, Selangor D.E.
Tel: +603-8063 5179
Fax: +603-8063 5525
Email : info@homepro.com.my

HomePro menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma dalam jarak 30km apabila anda membeli minimum RM3,000 dalam satu resit.


Disamping itu, turut disediakan khidmat lukisan 3D untuk menggambarkan rupa bentuk sebenar hiasan dalaman anda apabila dimasukkan barangan yang dibeli. 

Di Homepro juga, ada kemudahan Build Your Dream Home With HomePro. Mudah sahaja, terus dekati staf di HomePro Design Corner, IOI City Mall. Anda juga boleh buat temujanji atau berunding dengan Sales Consultant di talian 012-288 3637.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui berkenaan Build Your Dream Home With HomePro. 
  • bawa pelan atau layout rumah anda untuk digunakan oleh perunding jualan.
  • beritahu lokasi rumah, jenis rumah
  • kawasan ubahsuai yang terlibat
  • bajet
  • bila jangkaan siap ubahsuai
  • konsep ubahsuai yang digemari
  • yuran pendaftaran RM50 untuk setiap yang mendaftar dengan Home Project
HomePro juga membantu dalam urusan pemasangan pada harga yang berpatutan. Jangan cuba-cuba pasang sendiri jika tidak berkemahiran. Rosak tak pasal-pasal rugi besar kerana nak jimatkan kos pemasangan.

Walaubagaimanapun pilihan masih terletak pada anda kerana faktor bajet memang menjadi topik utama. Jika bajet besar, memang tak jadi masalah. Rajin-rajinlah melihat susun-atur perabot yang dibincangkan di internet ataupun beli majalah-majalah berkaitan seperti Anjung Seri untuk mendapatkan sedikit ilham.








Friday, December 16, 2016

Cara Membuat Mesin Rumput Mini

Memang aku cukup suka buat kerja-kerja DIY ni. Dalam perkongsian video kali ini aku tampilkan cara membuat mesin rumput mini yang nampak comel tapi mampu memotong rumput dengan baik.




Arahan dalam video tersebut agak mudah dipelajari. Jadi apa tunggu lagi, pergi la shopping apa-apa barang yang patut dibeli. Cara membuat mesin rumput mini dapat mengurangkan stress bagi penggemar DIY. Selalunya model berbentuk permainan memang popular dikalangan penggemar DIY .

Jom layannnn...

Panduan Dekorasi Ruang Dalam Rumah Ala Inggeris

Kalau minat dengan dekorasi rumah ala-ala Inggeris, anda bolehlah melihat pada petikan video dibawah yang berjudul Panduan Dekorasi Ruang Dalam Rumah Ala Inggeris.



Kekemasan itu penting, bukan perlu ruang yang besar cuma susunan perabot dan peralatan elektrik haruslah sesuai dengan kedudukan tingkap, tangga, warna dinding dan lantai. 

Video berikutnya menampilkan susun-atur kepada ruang yang lebih luas. Kelihatan amat menarik susunan barang yang dipadankan dengan hiasan dinding, warna dinding dan lantai laminated.



So, amacam dah dpt buka minda nak hias rumah sendiri. Nak carik barang tak jadi masalah, pergi aje ke Ikea. Situ banyak dpt idea cara bagaimana nak susun barang. Ok bye.

Thursday, December 8, 2016

Cara Pasang Auto Gate Arm

Aku masih belum jumpa lagi auto gate yang berkenan di hati. Yang berkenan la sangat harga pulak tak berkenan. Duit yang sedara kirim dari Hong Kong pun tah tahun biler la nak sampai.

Tengok kat youtube terjumpa la pulak tutorial cara pasang auto gate arm dari jenis pintu lipat. Cara nampak macam la mudah sangat tapi itu hanya bab pasang saja, memang tengok rasa macam boleh buat tapi bila bab wiring ramai yang rasanya tak boleh buat sendiri. Takut salah wiring nanti pintu tak boleh bukak pulak. Bila malam dia terbukak sendiri....hahaha ....lagi kacau.


Kalau dah ada wiring, mengikut kata video tu la, hanya perlukan 1/2 hari sahaja untuk pasang. Kalau tak ada wiring kena ambil 1 hari penuh. Pasang sendiri memang puas hati especially kekemasan drill bracket ke tiang dan laluan paip yang kita boleh letakkan mengikut kesedapan mata memandang. Selalunya diaorg main pasang je paip ikut laluan yang senang tapi kita la yang sakit mata dibuatnya.

Tutorial cara pasang auto gate yang ditunjukkan itu nampak mudah bagi mereka yang ada asas pendawaian elektrik. Kalau asas takde, elokla panggil mereka yang pakar untuk tolong pasangkan auto gate korang.

Tips : Elokla masa diaorang datang pasang, korang ambik cuti dan tengok cara diaorang pasang. Bagitau kat depa yang hang nak paip lalu tersorok sikit. Tambah sikit duit pun takpe.



Thursday, August 11, 2016

Kriteria Pemilihan Auto Gate

Untuk artikel kali ini, aku sebenarnya dalam proses memilih produk auto gate terbaik untuk rumah aku sendiri. Bukan tulis sesaje aje. Tulis kerana nakkan ilmu dan dalam pada survey produk di internet, apa-apa bahagian yang penting aku kongsila dengan korang semua.




Mengapakah Sistem Auto Gate Ini Amat Penting?
Banyak yang telah diperkatakan di laman-laman Web berkaitan perkara ini dan kesimpulannya adalah seperti berikut :
  • mudah membuka dan menutup pintu pagar tanpa perlu seseorang membukanya.
  • amat berguna apabila cuba membuka atau menutup pintu pagar sewaktu hujan sedang turun.
  • mampu mengurangkan risiko diserang oleh pihak yang cuba menyamun mereka yang keluar dari kereta. Namun begitu anda perlu melihat cermin sisi dan belakang kerana dikhuatiri penyamun berlindung dibelakang kereta dan berjalan masuk membontoti kereta anda. Tips - reverse kereta laju sikit sebelum bergerak masuk ke rumah anda. Kalau ada penyamun memang dah terpelosok bawah kereta la jawabnya. Tips bunyi macam kartun aje tapi praktikal. Hahaha...
Apakah Komponen Yang Terdapat Pada Sistem Auto gate?
Pada asasnya berikut adalah komponen yang ada pada sesebuah sistem auto gate. Ianya boleh berfungsi secara sendiri menerusi alat kawalan jauh atau dipanggil remote control tetapi keberkesanan kawalan jauh ini tertakluk pada jarak yang dekat sahaja.
  • Stainless steel component
  • AC/DC motor
  • Aluminium component
  • Screw thread
  • Copper wirings
  • Electronic / electrical control board
  • Gearbox
  • Remote control
  • Electrical and magnetic lock
  • Rechargable backup battery
Apakah Kriteria Pemilihan Auto Gate Yang Terbaik?
Bahagian yang amat subjektif untuk dibicarakan. Beberapa faktor perlu diambilkira :
  • Sudah tentu kos belian dan pemasangan. Bukanlah nak jadi tamak, nakkan yang berkualiti pada harga murah memangla payah nak jumpa. Mana ada produk berkualiti pada harga murah. Kalau ada pun mungkin produk TipuSwingGate. Dah la kena tipu kena swing lagi. Memadailah dengan mendapatkan yang murah tapi kualiti yang sederhana baik.  
  • Bantuan selepas jualan yang boleh dipercayai. Kena cari syarikat yang establish sikit supaya masih kekal beroperasi selepas pemasangan. Takut minggu ni pasang, bulan depan dah takde dah kompeni tu. Payah nanti nak minta khidmat sokongan bila berlaku masalah pada auto gate. Kalau selepas tempoh jaminan takpe la kalau mereka nak tutup kedai. Kita panggil dia ke atau orang lain ke... masih tetap kena bayar kos perkhidmatan.
  • Alat-ganti yang murah. Sebaiknya jenama yang dipilih mempunyai alat-ganti yang murah dan mudah didapati. Kalau dapat yang jenis boleh terima jenama universal lagi baik. Apa maksudnya jenama universal? Maksudnya ialah auto gate tu boleh berfungsi dengan alat ganti dari jenama lain atau yang langsung tak berjenama. Payah gak nak dapat jenis yang macam ni. Biasanya pengeluar produk cuba menjadikan komponen alat-ganti mereka unik.
  • Bilangan channel paling kurang 3 channel dimana channel 1 untuk buka dua-dua belah pintu, channel 2 untuk buka pintu sebelah kiri dan channel 3 untuk buka sebelah kanan sahaja. Sesuai untuk buka pintu untuk keluarkan motorsikal, basikal, buang sampah di luar rumah dan untuk tujuan lain yang tidak memerlukan gate dibuka keseluruhannya. Ada yang offer 4 channel dimana salah satu channel untuk menghidupkan lampu. Ini pun bagus juga bila sampai depan gate aje boleh terus hidupkan lampu porch. Takla gelap bila keluar dari kereta.
  • Stainless Steel. Komponen ini kebanyakannya pada masa kini datang dalam bentuk stainless steel. Kalau besi, mudah karat untuk tempoh lama.


    Apakah Kriteria Pemilihan Vendor Auto Gate Yang Terbaik?
    • Kualiti pemasangan yang kemas. Sebaik-baiknya panggil penjual datang ke rumah dan tanya bagaimana perancangan pemasangan yang akan dilakukan oleh mereka. Terutama sekali aspek pendawaian, dimana kabel akan dilalukan, dimana suis akan diletakkan, dimana kotak kawalan akan dipasang. Semua ini penting untuk menjamin kesedapan mata yang memandang setelah auto gate siap dipasang. Murah bukan bererti mereka boleh buat semua benda ikut apa yang mereka rasakan sesuai sahaja. Kita kena berpuashati dulu dengan susun-atur komponen-komponen yang akan dipasang. Banyak kes pelanggan yang merungut mengenai kerja-kerja pemasangan yang tidak kemas. 
    • Pendawaian. Kalau boleh dapatkan saiz kabel yang besar, paling tidakkan 1.5mm. Kalau mereka boleh tanam kabel dari jenis armoured cable lagi bagus. Armoured kabel lebih sesuai digunakan jika kabel ditanam didalam tanah. Laluan ditepi dinding boleh menggunakan cover paip putih, jauh lebih murah dari armoured cable. Contoh armoured cable seperti dibawah. Ia lebih selamat tidak mudah putus sekiranya anda tercangkul sewaktu berkebun. Terdapat lapisan besi disekeliling bahagian dalam lapisan luar. Berbincanglah dengan vendor auto gate dan dapatkan pilihan sebutharga jika anda memilih armoured cable.
    armoured cable
    Credit Photo : https://electeng.wordpress.com/2011/10/18/steel-wire-armoured-swa-cable/
    • ELCB berasingan. Perkara ini juga perlu diambilkira. Setiap vendor sudah tentu ingin memaksimakan keuntungan. Mereka mungkin tidak menggunakan ELCB yang berasingan untuk menjimatkan kos. ELCB tidak mahal, cuma dalam lingkungan harga RM10, jadi berbincanglah dengan mereka. Jika perlu tambah sedikit duit, tambahlah asalkan tidak mendatangkan masalah di kemudian hari.
    Baiklah, didalam posting yang akan datang, akan saya senaraikan beberapa produk auto gate yang popular sebagai panduan buat para pembeli yang berminat.

    Wednesday, August 10, 2016

    Kotak Fius Agihan dan Pendawaian Soket Litar Elektrik

    Awas! Jangan melakukan sendiri pemasangan Kotak Fius Agihan (Distribution Box) sekiranya belum benar-benar faham akan teori bekalan elektrik ke premis anda.

    Posting ini hanyalah sebagai melengkapkan pengetahuan am anda tentang cara-cara pemasangan kotak fius agihan agar anda mudah berbincang dengan kontraktor elektrik. Setidak-tidaknya taklah ibarat seekor itik bercakap dengan seekor ayam. Ilmu yang sedikit itu penting agar mudah anda memahamkan isi perbualan dengan mereka yang bergelar wireman.

    Tanpa banyak teks pada penulisan pada kali ini, saya bawakan kepada anda video yang saya jumpa di Youtube yang pada hemat saya amat mudah difahami oleh semua orang yang bukan teknikal.

    Pendawaian Soket Litar Jejari dan Litar Gelang 

    Sebaik-baiknya anda faham bagaimana 3 kabel elektrik iaitu wayar hidup, wayar neutral dan wayar bumi yang berada di soket rumah dihubungkan kepada punca sambungan elektrik di kotak fius agihan. 

    Hey! Saya bukan wiremen, kenapa saya kena tahu? 
    Tak tahu tidak mengapa, apa yang saya cuba sarankan ialah ambillah maklumat ini sebagai pengetahuan am sahaja. 



    Pemasangan Kotak Fius Agihan 1 Fasa

    Video ini pula mengenai bagaimana punca elektrik yang masuk dari meter elektrik diluar rumah anda, disambungkan ke kotak fius agihan. Jangan sentuh sebarangan bahagian ini! 

    Bahagian ini juga secara tidak langsung berkait rapat dengan kos ubahsuai rumah. Disarankan anda memiliki banyak fius dengan saiz kotak yang lebih besar agar setiap kumpulan wayar dari soket disusun dalam kumpulan-kumpulan kecil dan diasingkan dari soket yang digunakan untuk penghawa dingin, pemanas air mandian, oven, microwave, periuk nasi elektrik, cerek elektrik, mesin basuh, peti sejuk dan sebagainya. 


    Memilih video yang terbaik bukanlah mudah kerana sejumlah masa perlu diperuntukkan untuk meneliti setiap kualiti video yang ada. Sekiranya anda juga terjumpa video yang baik, silalah maklumkan kepada saya menerusi ruangan komen agar kita semua dapat berkongsi maklumat untuk ribuan pembaca diluar sana.

    Tuesday, June 14, 2016

    Design Interior Rumah Kecil

    Bagi mereka yang mendiami rumah bersaiz kecil sudah tentu penggunaan ruang perlu dimaksimakan sebaik mungkin. Susunan barang haruslah teratur dan tidak terlalu banyak menyimpan barang yang tidak perlu.

    Tetapi bagaimana mencari ruang untuk menyimpan barang yang kecil selain dari menyimpannya didalam almari. Stor mungkin satu salah satu opsyen tetapi adakalanya agak leceh mengambil barang yang kerap digunakan. 

    Untuk design interior rumah kecil lagi comel memerlukan kreativiti penggunaan binaan sedia-ada. Perhatikan pada binaan tangga dibawah.

    Camperdown House

    Ia agak praktikal untuk mempunyai sebuah tangga ke tingkat atas sesebuah rumah bertingkat yang mampu menempatkan laci pada anak tangga tertentu. Mungkin tidak perlu membina laci pada setiap anak tangga, memadai untuk beberapa anak tangga di sepertiga tangga tersebut.

    Idea ini memang mengujakan namun kos binaannya mungkin agak tinggi. 

    Jadi, siapa kata untuk design interior rumah kecil tidak banyak yang dapat dilakukan, Ianya lebih kepada mencari sudut-sudut tertentu yang boleh diubahsuai untuk dijadikan tempat penyimpanan yang sesuai.

    Selamat mencuba!


    Wednesday, February 3, 2016

    Masalah Manhole Tersumbat

    Berat...memang kes berat bila jadi kes manhole terseumbat. Nak buang air besar memang masalah la bila jadi kes camni. Bayangkan lah bila pam air jamban tapi air dalam mangkuk tandas mula naik membuak.


    Pastu benda jadi pertengahan minggu masa korang kerja. Terpaksa ambik cuti nak tulis reason bercuti pun segan takut bos tahu kita berak keluar kertas lalu tersumbat. Selalunya kita berurusan dengan kontraktor hari Sabtu atau Ahad. Taklah pressure sangat nak memikir pasal cuti dan sebagainya.

    Keadaan menjadi lebih buruk jika manhole terletak didalam rumah. Adakalanya air najis keluar di manhole. Perghhh... lagila tension bila jadi kes camni.

    Jika korang buat kerja-kerja ubahsuai rumah, dicadangkan untuk tarik satu paip saiz 2 inci dari manhole ke longkang luar rumah. Ia bertindak sebagai paip overflow sekiranya manhole tersumbat tetapi masih boleh mengalirkan air keluar dari manhole ke longkang. Setidak-tidaknya korang masih punya masa memilih kontraktor untuk melakukan kerja-kerja paip tersumbat. Kalau tidak, bila air dari manhole mula melimpah keluar ke lantai rumah korang sudah tentu korang dalam keadaan terpaksa menerima aje sebutharga yang diberi oleh plumber. Takut nanti plumber ambil kesempatan dari korang yang terdesak.

    Bila dah ada sistem overflow ni, janganlah lewatkan pulak memanggil plumber kerana bau busuk najis nanti akan mengganggu jiran-jiran yang berdekatan kerana air najis dilepaskan ke longkang.

    Aku pernah mengalami kes masalah manhole tersumbat tapi waktu itu aku belum lagi rennovate rumah aku, so manhole terletak diluar rumah. Aku pun terdesak jugak sebab air di mangkuk tandas payah nak surut, pisang goreng asyik terapung aje. Aku panggil plumber dan dia caj RM350. Itu pun aku dah jenoh try berhari-hari menjolok manhole tapi tak berjaya. Ada plumber yang bagi sebutharga RM500.

    Semoga tips menyelesaikan masalah manhole tersumbat ini membantu korang dalam membantu menyelesaikan masalah tension di kemudian hari.

    Memilih Laluan Paip Air

    Ingin berkongsi sedikit ilmu yang tak seberapa ni dengan pembaca yang budiman. Pernahkah korang mengalami atau terdengar masalah bil air tinggi? Apa puncanya? Tidak lain tidak bukan ialah terdapat kebocoran saluran paip air dari meter ke tangki atau dari meter ke sinki.

    Perlulah diketahui bahawa air yang keluar di sinki dapur adalah air terus dari meter manakala lain-lain paip air datangnya dari tangki. Ini adalah standard bekalan air yang keluar dari paip rumah korang. Sebabnya ialah takkanla kita minum, masak menggunakan air tangki. Dalam tangki tu kalau korang bukak memang agak meloyakan. Kadang-kadang tu ada lipas matila, cicak matila, semuanya suka sangat bunuh diri kat dalam tangki tu. Sejak korang beli rumah, pernah ke korang panjat bumbung dan tengok tangki air korang. Ehmmm... rata-ratanya memang takla. Korang tau tak ada kalanya penutup tangki air tu tak ditutup dengan rapat. Silap-silap haribulan, tikus pun ada yang eksiden terjatuh maut dalam tu. Dahlah taknak citer pasal kejadian bunuh diri ni.


    Berbalik pada cerita memilih laluan paip air yang kurang kos penyelenggaraan sekiranya berlaku kebocoran. Sekiranya korang tinggal di rumah corner lot, elokla korang tanam paip dilaluan keliling tembok/pagar rumah. Ini memudahkan kerja-kerja membaiki paip sekiranya terdapat kebocoran. Kalau boleh lalukan paip seberapa banyak yang boleh diluar tapak lantai rumah.


    Jika berlaku kebocoran paip air, kerja menebuk/menggali lubang mencari punca kebocoran paip lebih mudah. Bayangkan kalau laluan paip melintang dibawah lantai rumah? Sudah tentu jubin kena dipecahkan dan lantai juga dipecahkan untuk membaiki paip yang bocor. 


    Dalam kes aku, aku lalukan paip air diluar lantai rumah. Aku lalukan di keliling pagar batu. Pastu aku siap ambik gambar untuk rujukan aku di masa depan. Harap-harap gambar tak hilang dan membantu aku mengenalpasti titik kebocoran paip.

    Pemasangan Plaster Siling

    Telah menjadi trend sekarang ni bila kebanyakan pemilik rumah inginkan pemasangan plaster siling paling tidak pun di ruang tamu. Kenapa ya?
    Mungkin kerana ruang tamu ialah bahagian paling kerap dikunjungi orang baik tetamu ataupun penghuni rumah itu sendiri. Bila balik kerja dalam keadaan penat sudah tentu kita inginkan kedamaian sementara menunggu waktu untuk tidur. Bilik tidur takde plaster siling takpe sebab bila lampu padam nak tengok apa lagi? hehehe...

    contoh plaster siling
    Imej : http://sbdice-sbdplastersiling.blogspot.my/
    Kos pemasangan plaster siling adalah dalam lingkungan RM2-RM3 sekaki persegi sekiranya jenis rekabentuk rata. Jika ada bertingkat dah kira lain. Ada kiraannya untuk L-Box, kayu dan sebagainya. Bahagian tepi yang menggunakan cornice juga dikira lain ye. 

    kerja plaster siling

    Kalau nak pasang plaster siling elokla masa buat kerja ubahsuai rumah sedang dijalankan kerana habuk plaster siling toksah nak cakapla dia punya sepah, kotor, berselepet sana-sani. Lagipun kontraktor kena bawa masuk scaffolding untuk mereka berdiri di atas pelantar tu. Antara kebanyakan kerja ubahsuai rumah aku, bahagian pemasangan plaster silingla yang aku paling minat tengok. Leka aku tengok cina tu pasang, gaya macam main-main pun ada. Sambil dia nyanyi lagu cina yang tah hape-hape tu. Memangla aku tak pandai berbahasa cina tapi dari bunyi dia menyanyi memang sakit telinga berdengungla. hehehe...

    contoh plaster siling
    Imej : http://sbdice-sbdplastersiling.blogspot.my/
    Mula-mula dia ambik ukuran guna pancaran laser untuk ruang yang nak dipasang. Tujuannya supaya satu garisan lurus dan seimbang di setiap sisi dinding. Kalau takde alat ukuran laser, guna aje alat timbang air menggunakan getah paip. 

    contoh plaster siling
    Imej : http://sbdice-sbdplastersiling.blogspot.my/
    Selepas tu dipasangnya rangka besi di sekeliling dinding dan kemudian rangka besi bersilang mengikut saiz sekeping siling. Tapak bagi pencangkuk kipas juga akan dibuat. Dia akan gunakan sebatang kayu pendek dan diskrukan pada rangka besi dan juga mengikat besi sokongan ke lantai slab. Jika ditingkat atas rumah 2-tingkat, besi sokongan akan diikat ke kayu bumbung. Ini untuk memastikan kekuatan pada tapak pencangkuk kipas agar ianya tidak bergerak apabila kipas mula digunakan. 

    contoh plaster siling
    Imej : http://sbdice-sbdplastersiling.blogspot.my/
    Kemudian disusun siling pada rangka besi tu dan di skrunya. Lepas tu dibancuhnya tepung gam. Aku panggil tepung gam sebab bancuhan ini akan mengeras selepas beberapa minit. Tang ni yang aku nampak paling laju dia kerja sebab kalau lambat nanti bancuhan yang dilepa pada siling akan keras. Tujuan lepaan ini adalah untuk menutup ruang antara kepingan siling dan lubang-lubang yang terdapat pada siling itu sendiri. Bahagian tepi siling yang bersentuhan dengan dinding juga akan dilepakan dengan bancuhan itu tadi untuk menutup segala ruang yang ada. 

    contoh plaster siling
    Imej : http://sbdice-sbdplastersiling.blogspot.my/
    Akhir sekali akan dilubangkan punca lampu downlight mengikut saiz downlight samada 4 inci atau 6 inci. Ini adalah saiz biasa untuk rumah. Kalau rumah bersiling rendah elokla guna saiz 4 inci.


    Tips : Buat banyak downlight tapi gunakan 2 suis. Jika pasang 6 lampu, gunakan 2 suis. Maksudnya 1 suis untuk 3 lampu. Boleh kawal penggunaan tenaga elektrik samada nak guna 3 lampu atau 6 lampu serentak. Cuma wireman kena kerja lebih sikit dan kabel pun lebih sikit, maka, kos pun lebih la sikit. Ha...satu lagi ingatkan wireman juntaikan lebih sikit kabel tu takut nanti tak cukup panjang nak tarik kabel keluar dari lubang downlight. Kalau tak nanti kena sambung kabel la. Kadangkala lubang downlight terpaksa diganjakkan kerana lubang yang nak dikorek terkena besi rangka.

    Setakat ini sahaja serba ringkas tentang pemasangan plaster siling. Pilih kontraktor yang hanya buat plaster siling sahaja. Kalau kontraktor buat segala macam kerja takut nanti mereka tiada fokus kepada produk mereka.

    Mengukur Secara Manual Menggunakan Timbang Air

    Kecanggihan teknologi binaan dengan adanya sebuah alat pengukur paras ketinggian menggunakan pancaran laser. Caranya ialah dengan meletakkan alat laser di kedudukan ketinggian yang dikehendaki dan ON kan alat tersebut. Ia akan memancarkan cahaya laser di sekeliling bilik. Selepas itu buat garisan mengikut cahaya laser yang terpancar di dinding. Kemudian lakukan ukuran untuk menambah ketinggian atau mengurangkan ketinggian dari garisan yang telah dibuat.

    pengukur level laser
    Pengukur Level Laser
    Kalau takde laser, boleh juga guna timbang air. Zaman dulu memangla takde benda canggih guna laser bagai untuk ambil level ketinggian. Tapi yang aku kagum ialah penemuan idea canggih untuk mengukur secara manual menggunakan timbang air. Peralatan yang diperlukan hanyalah segulung paip air lutsinar dan air. Kalau boleh air yang berwarna agar mudah melihat kedudukan paras air dalam getah paip. Masa ni lah aku belajar cara ukur guna timbang air. Air tak mungkin menipu. Cuba korang fahamkan diagram dibawah ini. Semua penerangan ada dalam diagram tu.

    timbang air
    Mengukur Cara Manual Menggunakan Timbang Air
    Penggunaan timbang air atau alat timbang laser adalah kerana permukaan lantai yang mungkin tidak rata. Sekiranya korang ambil pita pengukur dan mula mengukur 7 kaki dari lantai, jika paras lantai tidak rata, maka siling korang nanti akan senget. Hahaha... kalau sikit senget takpe, kalau banyak yang senget nanti akan perasan bila tenung lama-lama.

    Diagram kat atas tu aku lukis sendiri ye. Bukan ambik dari internet. Ini menunjukkan yang aku benar-benar faham tentang ilmu timbang air. Sebab aku tengok macammana diaorang kerja. 

    Timbangan akan dilakukan di setiap sudut dan kemudian satu garis lurus akan dibuat menggunakan benang penanda. Jap aku carik gambar benang penanda. Bila taknak dia muncul, bila nak dia duduk tah kat folder mana tah. Sori, tak jumpa.

    Sekiranya ketinggian siling yang dikehendaki ialah 7 kaki 4 inci, maka, ukuran 4 inci akan diambil menggunakan pita pengukur dari paras 7 kaki yang telah digariskan itu. Begitulah juga jika paras yang dikehendaki ialah 6 kaki 2 inci, maka, ukuran 10 inci akan diambil dari paras 7 kaki yang telah digariskan itu. Ianya bergantung sama menolak atau menambah dari paras 7 kaki tersebut.

    Selepas tahu cara guna timbang air, aku pun naik seronok, asal nak gantung gambar je, terus ambik getah paip, isi air dan mula menanda kedudukan frame gambar. Dengan cara ini akan kelihatan semua frame gambar dalam kedudukan yang sama tingginya antara satu sama lain.

    Selamat mencuba.

    Tuesday, June 2, 2015

    Konsep Looping Pendawaian Elektrik

    Kalau dah janji kenalah ditunaikan. Dalam posting sebelum ini aku pernah kata yang aku akan kongsikan berkenaan konsep looping pendawaian elektrik. Bahagian ini penting untuk korang ketahui agar tiada masalah bebanan elektrik pada satu-satu MCB.

    Apa itu MCB?
    Miniature Circuit Breaker. Yang kecik kurus tinggi tersusun rapat. Suis lampu, kipas, aircond dan sebagainya akan disambungkan ke MCB. Nak explain detail aku tak pandai. Lagipun kalau teknikal sangat nanti...kau dengan aku-aku sekali pening. 

    Apa itu ELCB (Earth Leakage Circuit Breaker)?
    Nak explain secara detail tak pandai lak. Tapi ini adalah petikan di internet.

    kotak suis utama
    MCB, ELCB dan Main Switch Pada Kotak Suis Utama

    An Earth Leakage Circuit Breaker (ELCB) is a safety device used in electrical installations with high earth impedance to prevent shock. It detects small stray voltages on the metal enclosures of electrical equipment, and interrupts the circuit if a dangerous voltage is detected. Once widely used, more recent installations instead use residual current circuit breakers which instead detect leakage current directly.

    http://en.wikipedia.org/wiki/Earth_leakage_circuit_breaker

    Ringkasnya, ELCB adalah satu alat untuk mengelakkan renjatan elektrik sekiranya berlaku kebocoran arus elektrik yang disebabkan oleh kabel elektrik tersentuh sesama sendiri. Bagaimana boleh tersentuh sesama sendiri? Adakalanya kabel tidak diikat dengan kemas atau mungkin penebat kabel elektrik mencair.

    Hubungan MCB Dengan Soket/Suis Elektrik Di Rumah

    Kebiasaannya 1 MCB digunakan untuk satu aircond sahaja. Tidak dikongsikan dengan MCB yang digunakan untuk lampu dan kipas. Lampu pula dibahagi-bahagikan sama rata. Contohnya, 6 lampu untuk 1 MCB dimana 3 lampu di tingkat atas dan 3 lampu di tingkat bawah. Ini untuk memastikan masih terdapat lampu lain yang masih boleh digunakan di tingkat lain sekiranya 1 MCB telah rosak. Kalau 6 lampu di tingkat bawah dipasang pada 1 MCB, akan menyebabkan ruang bawah gelap-gelita tanpa ada satu lampu pun yang boleh dihidupkan.

    Apa yang penting di sini ialah kemahiran dan "kerajinan" seseorang wireman. Ada wireman yang tak mahir, main hentam aje cara pengagihan bekalan elektrik. Ada jugak dah keliru sebab masa tarik kabel elektrik, kontraktor lain dan bila tiba pasang MCB panggil dia pula. Dah dia jadi kambing hitam pulak.

    Ada juga wireman yang mahir tapi malas. Malas nak fikir, dia main lanyak aje asalkan bila pasang lampu, lampu menyala, bila pasang kipas, kipas berpusing (kalau kipas menyala, baik korang cepat pindah dari rumah tu).

    Habis dah mukaddimah... yang ini cerita ikut tajuk pulak.

    Konsep Looping Pendawaian Elektrik

    Jika korang dapat wiremen yang jujur dalam erti kata dia buat sepertimana dijanjikan dan pada kos yang munasabah. Ada wireman janji akan kurangkan looping dan buka harga rendah. Tapi hakikatnya dia bantai banyak looping, memangla boleh bagi harga murah. Dia dapat "curi" harga kos memandangkan kurang penggunaan kabel dalam pendawaian yang dia lakukan. 

    Jika tidak banyak looping, wiremen terpaksa gunakan wayar yang banyak. Segulung wayar bersaiz 1.5mm sepanjang 100m berharga sekitar RM30, manakala wayar bersaiz 2.5mm sepanjang 100m pula berharga sekitar RM50. Ada yang ada cop SIRIM dan ada yang tiada. Sudah tentu yang tiada cop SIRIM lebih murah. Wireman juga dapat "curi" harga kos pada jenis kabel elektrik yang digunakan.

    Kalau jumpa yang jujur, wireman sepatutnya beri harga berdasarkan opsyen :
    banyak looping + kabel SIRIM = RM A
    kurang looping + kabel SIRM = RM B
    banyak looping + kabel biasa = RM X
    kurang looping + kabel biasa = RM Y

    Banyak kombinasinya => Looping? Kabel SIRIM? Saiz kabel?

    Jadi berbincanglah dengan wireman tentang harga yang masuk akal.


    Jom kita lihat pada konsep looping pendawaian elektrik.

    Dalam gambarajah di atas, kesemua 4 buah lampu, peti sejuk dan penghawa dingin mudah alih diloopkan bersama. Ini merupakan kaedah yang tidak betul dan wajar dielakkan. Perhatikan hanya 3 kabel sahaja yang pergi ke kotak suis utama (distribution box - DB).

    Kelebihan : Jimat penggunaan kabel, jadi jimat kos.
    Keburukan : MCB menanggung beban yang tinggi jika wayar neutral yang pergi ke DB bermasalah, kesemua 4 lampu, peti sejuk dan penghawa dingin tidak dapat digunakan.



    kaedah looping pendawaian elektrik
    Manakala dalam gambar di atas pula, terdapat 9 kabel yang disambungkan ke DB. Ada 3 MCB yang akan gunakan iaitu 1 untuk lampu, 1 untuk perti sejuk dan 1 untuk penghawa dingin.

    Kaedah ini adalah terbaik dengan tidak mencampurkan peti sejuk dengan penghawa dingin. Sekiranya berlaku masalah pada kabel neutral peti sejuk yang masuk ke DB, lain-lain peralatan masih boleh digunakan.

    Diharap korang telah faham berkenaan konsep looping pendawaian elektrik. Senang aje, ingat ini => Looping? + Kabel SIRIM? + Saiz kabel?
    Memangla secara dasarnya jika murah sudah tentu kualiti rendah. Tapi kalau kena caranya korang boleh dapat harga murah dan berkualiti.

    Kalau wireman buka harga terlalu rendah berbanding yang lain, kemungkinan ada isu tentang kualiti kabel dan kualiti kerja.

    Cara Membina Kolam Ikan Dibawah 1000 Ringgit

    Hobi membela ikan kolam makin diminati oleh orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah teres mahupun banglo. Jika tinggal di ap...