Tuesday, January 7, 2020

Cara Mudah Membaiki Roda Autogate


Pernahkah korang mengalami masalah pintu pagar autogate tidak terbuka secara maksimum. Terbuka secara maksimum di sini bermaksud ianya tidak merapatkan dirinya semaksima mungkin sehingga ke lipatan yang berhampiran dengan tembok pagar.


Mungkin sebelum tu eloklah dinyatakan di sini bahawa tutorial ini hanya sesuai untuk pintu autogate yang dilipat 2 dibahagian kiri dan kanan. Dalam erti-kata lain terdapat 4 kepingan pintu iaitu 2 keping dibahagian kiri dan 2 keping lagi dibahagian kanan. Dua keping setiap sisi itu akan terlipat apabila pintu autogate dibuka dengan roda akan bergerak di atas landasan yang biasanya diperbuat dari besi.



Merujuk kepada bahagian bertanda A yang dibulatkan dalam gambar di atas, itu adalah punca kepada masalah autogate tidak terbuka dengan sempurna. Tapak roda dalam label A tidak berpusing dengan kemas menjadikan ia enggan mengikut laluan di landasan. Adakalanya ia menyebabkan roda autogate terkeluar dari landasan. Keengganannya akan menyebabkan korang naik angin bila kereta dah berada di depan pintu autogate dan hujan lebat sedang mencurah-curah diikuti dengan dentuman guruh di langit. Baby pula tengah meraung menangis. Haaa...ko rasa???



Tak payah panggil tukang autogate, buat sendiri lagi puashati. Buat dengan penuh kasih-sayang lagi lama tahannya roda tu. Ha...apalagi, dapatkan la barang-barang seperti dalam gambar di atas tak termasuk roda tu ye.





Angkat pintu autogate untuk mengeluarkannya dari landasan dan umpil pada bahagian yang dilabel "A" dengan skru driver besar. Kalau takut calar bahagian bawah pintu autogate, lapik skru driver dengan secebis kain. Tebal kain hendaklah mengikut kesesuaian jarak roda autogate dengan bahagian bawah pintu. Jika dirasakan agak ketat, gunakan tukul besi untuk menghentam roda autogate. Hentam secara berhemah slow and steady takut nanti roboh pulak pintu tu nanti. Kalau nak lebih selamat, gunakan puller tapi rasanya dengan mengetuk secara perlahan sudah memadai untuk menurunkan roda autogate dari pintu autogate.

Gambar di atas menunjukkan bahagian bawah autogate yang telah berjaya dikeluarkan rodanya. Jelas di situ menunjukkan pintu autogate ini menggunakan bearing. Susah betul nak ambik gambar ni tau. Menonggeng-nonggeng jurukamera. Aduhhh...


 

Begitulah rupa roda autogate yang telah berjaya dikeluarkan seperti didalam gambar di atas. Periksa putaran roda masih elok, tidak berbunyi. Jika berbunyi, sila buka skru tersebut dan gantikan bearing. Bearing tak mahal, boleh dapat dalam RM5 sahaja di kedai hardware. Bawa bearing yang rosak sebagai contoh untuk dapatkan saiz yang betul. Dalam tutorial ini, aku tak bercerita tentang penukaran bearing. Aku pernah tukar bearing roda autogate aku. Jika ada kesempatan akan ku ceritakan di lain artikel. Sabar ye sebab mood menulis ni kadang-kadang ke laut.



Aku percaya batang roda autogate korang berkeladak dengan lapisan minyak dan habuk. Habuk-habuk ini mengeras meliputi batang roda autogate. Itulah puncanya ia tidak berpusing dengan kemas di tapak roda autogate yang terletak dibahagian bawah pintu autogate.

Gunakan kertas pasir dan gosok batang roda tersebut. Jangan gunakan grinder kerana dibimbangi saiz batang roda mengecil. Bila terlalu kecil, ia akan mudah terkeluar dari landasan dan mungkin juga terkeluar dari bahagian bawah pintu. Kertas pasir adalah pilihan yang terbaik di mana korang dapat menggosoknya secara rata mengelilingi batang roda tersebut. Aku menggunakan kertas pasir memang cun hasilnya. Gosok sampai berkilat sehingga licin permukaan batang roda. 

Setelah siap menggosok batang roda dengan menggunakan kertas pasir, letak sedikit gris dibahagian bearing yang terletak dibahagian bawah pintu autogate.
Jangan terlalu banyak gris kerana ia boleh menyebabkan masalah pasir melekat di bearing.
Kemudian masukkan semula batang roda ke dalam bahagian bawah pintu autogate. Jika dimsukkan dan terus jatuh bermakna dah terlebih gosok. Tapi takpe, masukkan aje dan tahan dengan tangan dan kemudian naikkan semula roda ke atas landasan.

Dah tu aje. Pasti korang puashati dengan hasil kerja tangan korang. Kerja kemas dan kos pun rendah. Pastikan simpan balik tools yang korang gunakan kalau taknak telinga korang sakit mendengar leteran bini korang.

Selamat bertukang!










Cara Membina Kolam Ikan Dibawah 1000 Ringgit

Hobi membela ikan kolam makin diminati oleh orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah teres mahupun banglo. Jika tinggal di ap...