Saturday, February 13, 2021

Cara Membina Kolam Ikan Dibawah 1000 Ringgit

Hobi membela ikan kolam makin diminati oleh orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah teres mahupun banglo. Jika tinggal di apartment atau kondominium, agak suka mencari ruang yang sesuai. Tambahan pula untuk kolam kelihatan cantik, lantai kolam mestilah berada beberapa kaki lebih dalam dari aras tanah.

Ramai peminat ikan koi mengatakan untuk ikan koi membesar dengan baik, kedalaman air merupakan antara aspek penting sewaktu merekabentuk kolam ikan koi tersebut. Kedalaman yang sesuai amat penting untuk pertumbuhan fizikal ikan-ikan tersebut. Air yang dalam mampu menstabilkan suhu air kolam dengan baik dan ini digemari oleh sebarang jenis ikan.

Sebenarnya aku merancang untuk membina kolam ikan sendiri dan untuk tujuan itu, aku telah melayari Youtube untuk melihat apakah bahan yang digunakan dan bagaimana membina kolam ikan koi tersebut. Agak banyak masa juga aku peruntukkan untuk melihat idea-idea kolam ikan minimalis. Aku sukakan reka bentuk kolam ikan minimalis kerana ia lebih mudah untuk diselenggarakan. Terutamanya kurang berlumut, itu yang penting kerana faktor masa perlu diambilkira. Terlalu sibuk dengan urusan kerja ditambah pula urusan pemantauan hal-hal yang berkaitan dengan persekolahan anak-anak, sudah tentulah aku tidak mempunyai banyak masa untuk kerap membersihkan kolam ikan.

Seandainya kita melihat dari sudut artistik, sudah tentulah kolam ikan yang menggunakan reka bentuk semulajadi lebih menarik akan tetapi ia menjadi berserabut jika pokok-pokok disekeliling tidak dijaga dengan baik. Manakala batu-batu yang diletakkan di beberapa bahagian kolam mungkin akan berlumut dengan cepat. 

Berikut adalah video YouTube yang menarik mengenai pembikinan kolam ikan. Ideanya simple dan murah, hanya memerlukan bajet kurang dari RM1000 sahaja.



Langkah pertama yang dilakukan oleh tukang kolam ikan ialah membersihkan tapak binaan kolam. Dalam video tersebut, tukang tidak menggali tapak, mungkin keadaan memaksa beliau untuk tidak menggali lubang. Antara sebabnya mungkin didalam tanah tersebut mempunyai paip air, paip najis yang melintasi tapak kolam.

Tukang tidak menggunakan dinding rumah, sebaliknya membina dinding kolam yang berasingan. Ini satu langkah yang bijak di mana paip-paip air/udara dapat disorokkan dibelakang dinding. Kelebihan yang lain pula ialah jika berlaku masalah kebocoran kolam, perkara ini hanya melibatkan dinding kolam sahaja bukan di dinding rumah. Proses baik-pulih tidak akan melibatkan dinding rumah.

Terdapat saluran air overflow jika berlaku kemasukan air berlebihan contohnya dari air hujan dan lubang bottom drain diletakkan dibahagian tengah kolam. Dibahagian penapis terdapat 3 petak yang bertujuan menapis kekotoran di petak pertama dan kedua. Di petak ketiga diletakkan pam air bertujuan mengepam air naik ke bahagian air pancut.

Berikut adalah kos yang dinyatakan dalam video YouTube tersebut yang berjudul "Kolam Ikan Koi Minimalis 3 Jutaan | Proses dari Awal Sampai Jadi dengan Rincian Biaya".



Wow! Hanya 3.2 juta rupiah Indonesia dan ini bersamaan dengan 938 ringgit Malaysia. Bolehkah dengan kos bahan-bahan yang digunakan dan kos upah tukang sebanyak itu digunakan di Malaysia.

Jawapannya ialah TIDAK. Mana mungkin kos di Malaysia serendah itu. Cuba lihat pada kos upah 950,000 rupiah bersamaan dengan 275 ringgit. Upah tukang untuk 2 orang selama 6 hari, bermakna sehari kos upahnya ialah RM45. Dari jumlah RM45 dibahagi kepada 2 orang dan akhirnya seorang ang menerima upah RM22.50.

Betul ke kiraan kos yang dinyatakan oleh pemilik video YouTube tersebut. Jika kos upah itu benar, maka tidak hairanlah ramai warga Indonesia memilih untuk mencari rezeki di Malaysia dalam sektor pembinaan. Tukang Indonesia jika tidak silap aku bergaji kurang lebih RM90 sehari di Malaysia. Jika 6 hari untuk menyiapkan kolam ikan dengan 2 orang pekerja, ini bermakna kos upah membina kolam ikan di Malaysia ialah RM1,080.

Aku tidak pasti ukuran sebenar kaca yang digunakan. Mengikut kos yang dinyatakan ianya hanyalah RM64. Di Malaysia untuk cermin biasa (bukan tempered glass) berketebalan 10mm untuk saiz 1kaki x 5kaki berharga RM250. Agak murah kos bahan binaan di Indonesia. Jika ada pembaca blog ini yang berasal dari Indonesia, sila komen dan sila sahkan samada benar kos bahan binaan memang begitu harganya di Indonesia.

Walau apapun, pujian harus diberikan kepada pemilik video YouTube tersebut kerana sudi berkongsi tatacara membina kolam ikan beserta dengan paparan kosnya. Setidak-tidaknya pembaca blog ini dapat sedikit idea membina kolam ikan dan menyediakan bajet yang bersesuaian dengan bahan binaan yang perlu dibeli.


No comments:

Post a Comment

Ada sesuatu yang ingin anda kongsikan?

Cara Membina Kolam Ikan Dibawah 1000 Ringgit

Hobi membela ikan kolam makin diminati oleh orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah teres mahupun banglo. Jika tinggal di ap...