Saturday, February 13, 2021

Cara Membina Kolam Ikan Dibawah 1000 Ringgit

Hobi membela ikan kolam makin diminati oleh orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah teres mahupun banglo. Jika tinggal di apartment atau kondominium, agak suka mencari ruang yang sesuai. Tambahan pula untuk kolam kelihatan cantik, lantai kolam mestilah berada beberapa kaki lebih dalam dari aras tanah.

Ramai peminat ikan koi mengatakan untuk ikan koi membesar dengan baik, kedalaman air merupakan antara aspek penting sewaktu merekabentuk kolam ikan koi tersebut. Kedalaman yang sesuai amat penting untuk pertumbuhan fizikal ikan-ikan tersebut. Air yang dalam mampu menstabilkan suhu air kolam dengan baik dan ini digemari oleh sebarang jenis ikan.

Sebenarnya aku merancang untuk membina kolam ikan sendiri dan untuk tujuan itu, aku telah melayari Youtube untuk melihat apakah bahan yang digunakan dan bagaimana membina kolam ikan koi tersebut. Agak banyak masa juga aku peruntukkan untuk melihat idea-idea kolam ikan minimalis. Aku sukakan reka bentuk kolam ikan minimalis kerana ia lebih mudah untuk diselenggarakan. Terutamanya kurang berlumut, itu yang penting kerana faktor masa perlu diambilkira. Terlalu sibuk dengan urusan kerja ditambah pula urusan pemantauan hal-hal yang berkaitan dengan persekolahan anak-anak, sudah tentulah aku tidak mempunyai banyak masa untuk kerap membersihkan kolam ikan.

Seandainya kita melihat dari sudut artistik, sudah tentulah kolam ikan yang menggunakan reka bentuk semulajadi lebih menarik akan tetapi ia menjadi berserabut jika pokok-pokok disekeliling tidak dijaga dengan baik. Manakala batu-batu yang diletakkan di beberapa bahagian kolam mungkin akan berlumut dengan cepat. 

Berikut adalah video YouTube yang menarik mengenai pembikinan kolam ikan. Ideanya simple dan murah, hanya memerlukan bajet kurang dari RM1000 sahaja.



Langkah pertama yang dilakukan oleh tukang kolam ikan ialah membersihkan tapak binaan kolam. Dalam video tersebut, tukang tidak menggali tapak, mungkin keadaan memaksa beliau untuk tidak menggali lubang. Antara sebabnya mungkin didalam tanah tersebut mempunyai paip air, paip najis yang melintasi tapak kolam.

Tukang tidak menggunakan dinding rumah, sebaliknya membina dinding kolam yang berasingan. Ini satu langkah yang bijak di mana paip-paip air/udara dapat disorokkan dibelakang dinding. Kelebihan yang lain pula ialah jika berlaku masalah kebocoran kolam, perkara ini hanya melibatkan dinding kolam sahaja bukan di dinding rumah. Proses baik-pulih tidak akan melibatkan dinding rumah.

Terdapat saluran air overflow jika berlaku kemasukan air berlebihan contohnya dari air hujan dan lubang bottom drain diletakkan dibahagian tengah kolam. Dibahagian penapis terdapat 3 petak yang bertujuan menapis kekotoran di petak pertama dan kedua. Di petak ketiga diletakkan pam air bertujuan mengepam air naik ke bahagian air pancut.

Berikut adalah kos yang dinyatakan dalam video YouTube tersebut yang berjudul "Kolam Ikan Koi Minimalis 3 Jutaan | Proses dari Awal Sampai Jadi dengan Rincian Biaya".



Wow! Hanya 3.2 juta rupiah Indonesia dan ini bersamaan dengan 938 ringgit Malaysia. Bolehkah dengan kos bahan-bahan yang digunakan dan kos upah tukang sebanyak itu digunakan di Malaysia.

Jawapannya ialah TIDAK. Mana mungkin kos di Malaysia serendah itu. Cuba lihat pada kos upah 950,000 rupiah bersamaan dengan 275 ringgit. Upah tukang untuk 2 orang selama 6 hari, bermakna sehari kos upahnya ialah RM45. Dari jumlah RM45 dibahagi kepada 2 orang dan akhirnya seorang ang menerima upah RM22.50.

Betul ke kiraan kos yang dinyatakan oleh pemilik video YouTube tersebut. Jika kos upah itu benar, maka tidak hairanlah ramai warga Indonesia memilih untuk mencari rezeki di Malaysia dalam sektor pembinaan. Tukang Indonesia jika tidak silap aku bergaji kurang lebih RM90 sehari di Malaysia. Jika 6 hari untuk menyiapkan kolam ikan dengan 2 orang pekerja, ini bermakna kos upah membina kolam ikan di Malaysia ialah RM1,080.

Aku tidak pasti ukuran sebenar kaca yang digunakan. Mengikut kos yang dinyatakan ianya hanyalah RM64. Di Malaysia untuk cermin biasa (bukan tempered glass) berketebalan 10mm untuk saiz 1kaki x 5kaki berharga RM250. Agak murah kos bahan binaan di Indonesia. Jika ada pembaca blog ini yang berasal dari Indonesia, sila komen dan sila sahkan samada benar kos bahan binaan memang begitu harganya di Indonesia.

Walau apapun, pujian harus diberikan kepada pemilik video YouTube tersebut kerana sudi berkongsi tatacara membina kolam ikan beserta dengan paparan kosnya. Setidak-tidaknya pembaca blog ini dapat sedikit idea membina kolam ikan dan menyediakan bajet yang bersesuaian dengan bahan binaan yang perlu dibeli.


Tuesday, December 15, 2020

Proses Memasang Pintu Siap Bina

Pintu siap bina ini bermaksud saiznya telah ditentukan oleh kilang yang membuatnya. Kedai yang menjualnya pula mengambil terus dari kilang. Pemasangannya pula dilakukan kontraktor yang dilantik oleh penjual/kilang.

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Jika Membeli Pintu Siap Bina?

Anda perlu memecahkan bingkai pintu lama. Jika tiada kemahiran, boleh dapatkan khidmat tukang rumah. Anda perlu nyatakan dengan jelas, keluarkan pintu dengan bingkainya sekali. Selepas pintu siap bina dipasang, kawasan tepi bingkai perlu ditampal dan di plaster. Bingkai pintu yang dikeluarkan tidak boleh digunakan semula kerana memang akan rosak sewaktu proses hacking dinding dibahagian tepi bingkai.

Sekiranya rumah anda masih dalam proses pengubahsuaian, anda perlu memberitahu tukang rumah untuk membuat ruang empat persegi bagi membolehkan pintu siap bina dipasang dikawasan tersebut. Sama seperti proses binaan tingkap, tukang akan membuat petak empat persegi sebelum pekerja kedai cermin tingkap datang untuk membuat ukuran. Pada waktu ini, dinding masih belum di plaster. Ini akan menghasilkan dinding kawasan yang di plaster lebih rata lepaannya, maksudnya tiada kesan sambungan plaster. Sebaiknya buat keputusan samada mahu menggunakan pintu biasa atau pintu siap bina sewaktu proses ubahsuai rumah. Hasilnya lebih kemas dan cantik.

Memilih Saiz Safety Door Yang Sesuai

Terdapat beberapa ukuran standard pintu siap bina, iaitu 3 kaki x 7 kaki, 5 kaki x 7 kaki dan 6 kaki x 7 kaki. Pilihlah saiz pintu yang bersesuaian dengan lebar dinding dan ketinggian paras siling dari lantai.


Kaedah Pemasangan Pintu

Terdapat 2 kaedah untuk pemasangan pintu tidak kira apa jenis pintu sekalipun. Lihat rajah berikut.

Perhatikan pada perbezaan perletakan dasar bingkai pintu yang ditunjukkan didalam gambar di atas yang dilabelkan sebagai A dan B.

Kaedah A menurunkan sedikit bahagian bawah bingkai pintu lebih kurang setengah inci manakala kaedah B, bahagian bawah bingkai pintu mengikut paras jubin lantai dibahagian dalam rumah. Antara tujuan ia diturunkan ialah untuk menghalang air hujan yang mungkin merecik dibahagian bawah pintu. Ia juga dapat mengurangkan risiko dari haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking dari memasuki rumah anda.


Setelah pintu ditegakkan, kontraktor pemasangan akan melakukan kerja-kerja kimpalan untuk memegang badan bingkai dengan dinding pintu. Beberapa wall plug akan dipasang dan beberapa batang besi pendek digunakan untuk diikat pada badan bingkai dengan kepala wall plug melalui proses kimpalan.


Proses seterusnya ialah menampal semula dibahagian sisi-sisi bingkai pintu kiri, kanan dan atas. Penggunaan batu-bata merah yang kering boleh mempercepatkan kerja-kerja tampalan. Batu-bata merah cepat meresap simen yang diikat ke dinding. Setelah itu bahagian tersebut akan dilepakan simen dan diratakan.


Bahagian jubin di kaki pintu akan dipasang setelah kerja-kerja lepaan simen di sekeliling bingkai pintu disiapkan. Proses yang terakhir ialah mengecat dinding yang terkesan akibat kerja-kerja lepaan simen.

Untuk membersihkan kesan-kesan simen di lantai, gunakan sedikit larutan kimia yang boleh dibeli di kedai-kedai hardware. Bancuh dengan air paip dan uji sedikit dibahagian jubin tersebut. Bilas dengan air secepat mungkin kerana larutan kimia ini juga boleh menghakis corak jubin. Berhati-hati bila menggunakan larutan kimia.

Sekian.





Thursday, December 10, 2020

Cara-cara Membuat Pelapik Papan Dart

Bosan dengan melihat penjuru rumah kosong tanpa diisi apa-apa? Nah, nak bagi sikit idea dengan meletak papan dart dibahagian sudut rumah yang difikirkan sesuai. Rasa geram, rasa sunyi, rasa bosan, boleh praktis lontar-lontar dart. Kalau takde pelapik papan dart memang hancurla dinding rumah korang macam kesan-kesan bangunan peninggalan Perang Dunia Kedua.

Bahan-bahan Untuk Pelapik Papan Dart

  • Kayu pallet 13 keping
  • Paku lebih bersaiz 1 inci panjang
  • Gergaji Bermata Tajam
  • Pengorek Kayu
  • Tukul Besi
  • Shellac 1 botol kicap
  • Kertas pasir


Cara-cara Buat Pelapik Papan Dart

  • Tentukan saiz yang dikehendaki. Dalam gambar di atas, 11 keping diperlukan untuk susunan melintang. Ukur lebar mana yang dikehendaki. Tepok dada, ikut suka hati korang lah. Jangan tanya Google, tak payah. Selepas itu potonglah kayu tu samada kiri dan kanan ataupun hanya potong di satu sisi sahaja.
  • Dibelakang kayu pallet papan dart, ada 2 kayu pallet dalam posisi menegak. 2 kayu pallet ini digunakan untuk memaku kayu yang melintang dihadapannya. Letak dan paku dulu, lebihannya nanti boleh dipotong dengan gergaji.
  • Selitkan sebatang kayu pallet dalam kedudukan terbaring untuk meletak barisan dart korang. Paku dengan kemas kerana pallet yang terbaring ni kurang ruang untuk dipaku. Biasanya tukang akan memaku secara condong.
  • Dibahagian papan yang terbaring itu, korek lubang untuk mendirikan arrow darts. Lepas main dart boleh dicucuk atas papan yang terbaring. Jangan menyepah, nanti bini membebel tak sudah-sudah.
  • Kertas pasirkan papan dart secara sederhana untuk mengekalkan corak urat-urat kayu pallet.
  • Sapu shellac jika taknak pun takpe.
  • Siap untuk hidangan pemain-pemain dart.

Ukuran Jarak Papan Dart

  • Dari bahagian tengah papan dart (juga dipanggil bulls eye), tingginya ialah 173cm dari lantai.
  • Dari bahagian muka papan dart sehingga garisan melontar dart, jaraknya ialah 237cm

Peraturan Permainan Dart

  • Lingkaran paling luar memberikan mata berganda 2. Contoh jika dart korang masuk ke lingkaran paling luar yang berlabel 20, maka markah yang dikira ialah 20 X 2 = 40.
  • Lingkaran kedua disebelah dalam memberikan mata berganda 3. Contoh jika dart korang masuk ke lingkaran paling luar yang berlabel 20, maka markah yang dikira ialah 20 X 3 = 60.
  • Lingkaran ketiga pula memberikan mata sebanyak 25.
  • Lingkaran paling dalam (atau bulls eye) memberikan mata 50.
  • Lain-lain kawasan yang bukan dinyatakan di atas memberikan markah mengikut apa yang tertera di papan dart.

Tips Permainan Dart

  • Ramai yang beranggapan bahawa bulls eye adalah markah paling tinggi. Ini adalah salah sama sekali. Markah paling tinggi ialah 20 x 3. Sekiranya 3 dart memasuki lingkaran kedua disebelah dalam, markah terkumpul ialah 20 X 3 X 3 dart = 180

Kaedah Penjagaan Papan Dart

  • Cabut dart dari papan dart selepas bermain. Ini untuk mengelakkan lubang di papan dart menjadi kembang mengikut saiz mata dart. Perlu diingat banyak papan dart yang dibuat dari gulungan kertas yang dimampatkan

Tuesday, January 7, 2020

Cara Mudah Membaiki Roda Autogate


Pernahkah korang mengalami masalah pintu pagar autogate tidak terbuka secara maksimum. Terbuka secara maksimum di sini bermaksud ianya tidak merapatkan dirinya semaksima mungkin sehingga ke lipatan yang berhampiran dengan tembok pagar.


Mungkin sebelum tu eloklah dinyatakan di sini bahawa tutorial ini hanya sesuai untuk pintu autogate yang dilipat 2 dibahagian kiri dan kanan. Dalam erti-kata lain terdapat 4 kepingan pintu iaitu 2 keping dibahagian kiri dan 2 keping lagi dibahagian kanan. Dua keping setiap sisi itu akan terlipat apabila pintu autogate dibuka dengan roda akan bergerak di atas landasan yang biasanya diperbuat dari besi.



Merujuk kepada bahagian bertanda A yang dibulatkan dalam gambar di atas, itu adalah punca kepada masalah autogate tidak terbuka dengan sempurna. Tapak roda dalam label A tidak berpusing dengan kemas menjadikan ia enggan mengikut laluan di landasan. Adakalanya ia menyebabkan roda autogate terkeluar dari landasan. Keengganannya akan menyebabkan korang naik angin bila kereta dah berada di depan pintu autogate dan hujan lebat sedang mencurah-curah diikuti dengan dentuman guruh di langit. Baby pula tengah meraung menangis. Haaa...ko rasa???



Tak payah panggil tukang autogate, buat sendiri lagi puashati. Buat dengan penuh kasih-sayang lagi lama tahannya roda tu. Ha...apalagi, dapatkan la barang-barang seperti dalam gambar di atas tak termasuk roda tu ye.





Angkat pintu autogate untuk mengeluarkannya dari landasan dan umpil pada bahagian yang dilabel "A" dengan skru driver besar. Kalau takut calar bahagian bawah pintu autogate, lapik skru driver dengan secebis kain. Tebal kain hendaklah mengikut kesesuaian jarak roda autogate dengan bahagian bawah pintu. Jika dirasakan agak ketat, gunakan tukul besi untuk menghentam roda autogate. Hentam secara berhemah slow and steady takut nanti roboh pulak pintu tu nanti. Kalau nak lebih selamat, gunakan puller tapi rasanya dengan mengetuk secara perlahan sudah memadai untuk menurunkan roda autogate dari pintu autogate.

Gambar di atas menunjukkan bahagian bawah autogate yang telah berjaya dikeluarkan rodanya. Jelas di situ menunjukkan pintu autogate ini menggunakan bearing. Susah betul nak ambik gambar ni tau. Menonggeng-nonggeng jurukamera. Aduhhh...


 

Begitulah rupa roda autogate yang telah berjaya dikeluarkan seperti didalam gambar di atas. Periksa putaran roda masih elok, tidak berbunyi. Jika berbunyi, sila buka skru tersebut dan gantikan bearing. Bearing tak mahal, boleh dapat dalam RM5 sahaja di kedai hardware. Bawa bearing yang rosak sebagai contoh untuk dapatkan saiz yang betul. Dalam tutorial ini, aku tak bercerita tentang penukaran bearing. Aku pernah tukar bearing roda autogate aku. Jika ada kesempatan akan ku ceritakan di lain artikel. Sabar ye sebab mood menulis ni kadang-kadang ke laut.



Aku percaya batang roda autogate korang berkeladak dengan lapisan minyak dan habuk. Habuk-habuk ini mengeras meliputi batang roda autogate. Itulah puncanya ia tidak berpusing dengan kemas di tapak roda autogate yang terletak dibahagian bawah pintu autogate.

Gunakan kertas pasir dan gosok batang roda tersebut. Jangan gunakan grinder kerana dibimbangi saiz batang roda mengecil. Bila terlalu kecil, ia akan mudah terkeluar dari landasan dan mungkin juga terkeluar dari bahagian bawah pintu. Kertas pasir adalah pilihan yang terbaik di mana korang dapat menggosoknya secara rata mengelilingi batang roda tersebut. Aku menggunakan kertas pasir memang cun hasilnya. Gosok sampai berkilat sehingga licin permukaan batang roda. 

Setelah siap menggosok batang roda dengan menggunakan kertas pasir, letak sedikit gris dibahagian bearing yang terletak dibahagian bawah pintu autogate.
Jangan terlalu banyak gris kerana ia boleh menyebabkan masalah pasir melekat di bearing.
Kemudian masukkan semula batang roda ke dalam bahagian bawah pintu autogate. Jika dimsukkan dan terus jatuh bermakna dah terlebih gosok. Tapi takpe, masukkan aje dan tahan dengan tangan dan kemudian naikkan semula roda ke atas landasan.

Dah tu aje. Pasti korang puashati dengan hasil kerja tangan korang. Kerja kemas dan kos pun rendah. Pastikan simpan balik tools yang korang gunakan kalau taknak telinga korang sakit mendengar leteran bini korang.

Selamat bertukang!










Tuesday, May 16, 2017

Kotak Kawalan Auto Gate

Kali nak bercerita pasal kotak kawalan auto gate pulak. Cerita ni tak menarik tapi boleh la dijadikan pedoman buat semua.

Masa aku rennovate rumah aku dulu, aku beli armoured cable 12 core dan tanam dalam lantai dari luar (dari kotak tu la) masuk ke rumah. Dalam rumah ada suis-suis untuk hidupkan lampu tembok, tiang dan loceng rumah.

Mengikut kata wireman waktu itu, beli kotak plastik bersaiz lebih kurang dalam gambar tu la (kotak yang bawah tu). Dijangkakan cukup besar la untuk masukkan papan litar auto gate beserta dengan komponen-komponennya yang lain seperti bateri, transformer dan sebagainya. Bateri pun boleh tahan la saiznya, lebih kurang saiz bateri motor berkuasa tinggi.

Tengok dulu gambar dibawah ni sebagai rujukan. Tengok dan fokus ye.


Bila kontraktor auto gate datang, dia kata kotak tu tak boleh guna, reasonnya :

  • saiz tak ngam maaa....
  • komponen susah nak attach pada kotak sebab kotak yang didatangkan khas dengan auto gate mempunyai binaan tingkat-tingkat yang akan dipasangkan skru padanya. Macam susah kan nak faham. Tapi tengokla pada bahagian dalam kotak tu. Nampak tak, ada 2-garis baris melintang dan menegak. Skru akan ditembak ke alur tu lah untuk memegang komponen yang dilekatkan.

Kesimpulannya, jangan pasang kotak besar macam aku tu. Longgokkan kabel dalam kotak kecil yang macam dalam gambar tu (soket 3-pin). Kalau tak berkotak tak boleh la pulak, nanti ada yang kejang keras kat situ pulak. Dah semua wayar terjongol memang mengundang bahaya la kan.

Waktu kontraktor pasang auto gate, dia akan buka kotak kecil dan pasang kotak dia atas lokasi kotak kecil yang dibuang tu. Ini kita cerita jika guna kotak kecil untuk longgokan kabel. Nampak la kemas, satu kotak besar yang auto gate punya je kat dinding tu. 

Masalahnya sekarang, aku dah dua kotak. Hahaha.... Tapi takpe, untuk menutup kotak bawah tu dengan kotak kawalan auto gate, aku akan pasang satu kotak kayu yang besar menutupi kedua-duanya. Lagipun, selamat sikit dari pecah dihentam bola anak-anak aku. Nanti dah siap kotak tu, aku post gambar kat sini. Ntah-ntah ada yang order lak nanti.


Tuesday, March 21, 2017

Cara Hias Bilik Tidur Yang Sempit

Seringkali dekorasi bilik tidur dipinggirkan kerana ada yang berpendapat... "Alah...bilik tidur aje pun, siapa yang masuk tidur?"
Sebenarnya bilik tidur amat penting, di situlah anda menghempaskan badan untuk berehat dari kepenatan setelah seharian bekerja.



Bilik tidur yang kemas dan menarik mampu meningkat semangat seseorang dan mendamaikan fikiran yang kusut. Dahla di pejabat anda stess dari pagi hingga ke petang dan masuk ke bilik tidor pulak, nampak jemu dengan persekitaraannya. Adakah itu yang idamkan?

Keluarkan sedikit modal dan padankan la susun-atur perabot mengikut bajet anda. 


40 Idea Dekorasi Ruang Tamu

Saksikan 40 idea dekorasi ruang tamu yang pasti membuka minda anda semua. Kadangkala idea ringkas yang kita tidak terfikir pada awalnya kita juga mampu lakukannya tanpa khidmat pereka dalamam professional.



Elakkan dari meletakkan rimbunan perabot diruang yang kecil. Ramai yang telah mempraktikkan konsep minimalis dalam penataan perabot mereka. Kecil, kemas, menawan dan bergaya.

Jika perlukan pandangan dari mereka yang arif, anda disarankan ke IOI City Mall untuk mendapatkan khidmat rundingan dekorasi melalui program Build Your Dream Home With HomePro.

Monday, March 20, 2017

Build Your Dream Home With HomePro

Melihat dari tajuknya sahaja membuatkan hati membuak-buak untuk membina rumah idaman berdasarkan kepada bajet yang ada. Ramai yang gemar melihat sendiri actual products yang akan dipasang di rumah mereka. Untuk itu, disarankan untuk pergi ke pusat pameran HomePro yang ada di IOI City Mall, Putrajaya. Di sini, dipamerkan barangan rumah yang merangkumi peralatan bilik mandi, kabinet dapur, perabot dalam bilik, perabot ruang tamu, ruang keluarga, ruang makan dan juga peralatan dapur.

Pendek kata, didalam satu tempat, anda dapat lihat ke semua barang yang diperlukan untuk menghias rumah anda. Konsep peralatan yang sama seperti IKEA, menampilkan rekaan gaya moden dan ekslusif. Harga yang ditawarkan lebih kurang sama dengan IKEA, sebaiknya beli barangan sewaktu musim promosi. Memang murah dan berbaloi membeli pada harga promosi. 

HomePro IOI City Mall

Lot AT-2, Lower Ground Floor,
IOI City Mall,
Lebuh IRC, IOI Resort City,
62502, Putrajaya, Sepang,
Selangor



Ibu Pejabat HomePro Malaysia

Home Product Center (Malaysia) Sdn Bhd
Unit 5F-1A, 5th Floor,
Tower 1 (PFCC),
Jalan Puteri 1/2, Bandar Puteri,
47100, Puchong, Selangor D.E.
Tel: +603-8063 5179
Fax: +603-8063 5525
Email : info@homepro.com.my

HomePro menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma dalam jarak 30km apabila anda membeli minimum RM3,000 dalam satu resit.


Disamping itu, turut disediakan khidmat lukisan 3D untuk menggambarkan rupa bentuk sebenar hiasan dalaman anda apabila dimasukkan barangan yang dibeli. 

Di Homepro juga, ada kemudahan Build Your Dream Home With HomePro. Mudah sahaja, terus dekati staf di HomePro Design Corner, IOI City Mall. Anda juga boleh buat temujanji atau berunding dengan Sales Consultant di talian 012-288 3637.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui berkenaan Build Your Dream Home With HomePro
  • bawa pelan atau layout rumah anda untuk digunakan oleh perunding jualan.
  • beritahu lokasi rumah, jenis rumah
  • kawasan ubahsuai yang terlibat
  • bajet
  • bila jangkaan siap ubahsuai
  • konsep ubahsuai yang digemari
  • yuran pendaftaran RM50 untuk setiap yang mendaftar dengan Home Project
HomePro juga membantu dalam urusan pemasangan pada harga yang berpatutan. Jangan cuba-cuba pasang sendiri jika tidak berkemahiran. Rosak tak pasal-pasal rugi besar kerana nak jimatkan kos pemasangan.

Walaubagaimanapun pilihan masih terletak pada anda kerana faktor bajet memang menjadi topik utama. Jika bajet besar, memang tak jadi masalah. Rajin-rajinlah melihat susun-atur perabot yang dibincangkan di internet ataupun beli majalah-majalah berkaitan seperti Anjung Seri untuk mendapatkan sedikit ilham.








Friday, December 16, 2016

Cara Membuat Mesin Rumput Mini

Memang aku cukup suka buat kerja-kerja DIY ni. Dalam perkongsian video kali ini aku tampilkan cara membuat mesin rumput mini yang nampak comel tapi mampu memotong rumput dengan baik.




Arahan dalam video tersebut agak mudah dipelajari. Jadi apa tunggu lagi, pergi la shopping apa-apa barang yang patut dibeli. Cara membuat mesin rumput mini dapat mengurangkan stress bagi penggemar DIY. Selalunya model berbentuk permainan memang popular dikalangan penggemar DIY .

Jom layannnn...

Panduan Dekorasi Ruang Dalam Rumah Ala Inggeris

Kalau minat dengan dekorasi rumah ala-ala Inggeris, anda bolehlah melihat pada petikan video dibawah yang berjudul Panduan Dekorasi Ruang Dalam Rumah Ala Inggeris.



Kekemasan itu penting, bukan perlu ruang yang besar cuma susunan perabot dan peralatan elektrik haruslah sesuai dengan kedudukan tingkap, tangga, warna dinding dan lantai. 

Video berikutnya menampilkan susun-atur kepada ruang yang lebih luas. Kelihatan amat menarik susunan barang yang dipadankan dengan hiasan dinding, warna dinding dan lantai laminated.



So, amacam dah dpt buka minda nak hias rumah sendiri. Nak carik barang tak jadi masalah, pergi aje ke Ikea. Situ banyak dpt idea cara bagaimana nak susun barang. Ok bye.

Thursday, December 8, 2016

Cara Pasang Auto Gate Arm

Aku masih belum jumpa lagi auto gate yang berkenan di hati. Yang berkenan la sangat harga pulak tak berkenan. Duit yang sedara kirim dari Hong Kong pun tah tahun biler la nak sampai.

Tengok kat youtube terjumpa la pulak tutorial cara pasang auto gate arm dari jenis pintu lipat. Cara nampak macam la mudah sangat tapi itu hanya bab pasang saja, memang tengok rasa macam boleh buat tapi bila bab wiring ramai yang rasanya tak boleh buat sendiri. Takut salah wiring nanti pintu tak boleh bukak pulak. Bila malam dia terbukak sendiri....hahaha ....lagi kacau.


Kalau dah ada wiring, mengikut kata video tu la, hanya perlukan 1/2 hari sahaja untuk pasang. Kalau tak ada wiring kena ambil 1 hari penuh. Pasang sendiri memang puas hati especially kekemasan drill bracket ke tiang dan laluan paip yang kita boleh letakkan mengikut kesedapan mata memandang. Selalunya diaorg main pasang je paip ikut laluan yang senang tapi kita la yang sakit mata dibuatnya.

Tutorial cara pasang auto gate yang ditunjukkan itu nampak mudah bagi mereka yang ada asas pendawaian elektrik. Kalau asas takde, elokla panggil mereka yang pakar untuk tolong pasangkan auto gate korang.

Tips : Elokla masa diaorang datang pasang, korang ambik cuti dan tengok cara diaorang pasang. Bagitau kat depa yang hang nak paip lalu tersorok sikit. Tambah sikit duit pun takpe.



Cara Membina Kolam Ikan Dibawah 1000 Ringgit

Hobi membela ikan kolam makin diminati oleh orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah teres mahupun banglo. Jika tinggal di ap...