Monday, January 19, 2015

Membaiki Jubin Lantai

Kes kejadian jubin pecah seringkali berlaku selepas tamat tempoh jaminan penyelenggaraan rumah. Agak sedih juga apabila rumah yang dibeli hasil titik peluh yang dikumpul mengalami kerosakan yang sedemikian rupa.

Pernah dilaporkan di akhbar utusan pada 27/9/2010, sebuah rumah di Pulau Pinang mengalami detik cemas apabila lantai rumah yang dihuni oleh Mohd Fairuz Mohd Yusoff meletop, merekah dan terangkat tanpa sebab. Mereka yang terkejut dengan letupan itu berlari keluar rumah. Keadaan ini dipercayai disebabkan oleh kualiti pemasangan jubin yang rendah. Pemasangan jubin yang tidak mengikut spesifikasi boleh mendatangkan masalah selepas beberapa tahun menduduki bangunan.

pemasangan jubin

Apakah Penyumbang Kepada Masalah Ini?

Kejadian jubin pecah atau meletop boleh berlaku sekiranya tukang yang memasang jubin tidak mengikut spesifikasi pemasangan. Simen yang hendak dilepa ke bahagian bawah jubin mestilah dicampur dengan simen gam. Ianya adalah simen khas yang melekatkan jubin dan permukaan lantai atau dinding. Kemungkinan pada ketika pemasangan jubin, simen khas tersebut telah habis dan sikap malas ke kedai untuk membeli atau ingin cepat menyiapkan kerja, akhirnya pemilik rumah yang menanggung kerugian di kemudian hari. Sedangkan, tukang/kontraktor berjaya mengurangkan kos dari segi kos binaan atau upah.

Faktor lain mungkin disebabkan jenis jubin yang dipasang. Jenis jubin kilat lebih menyerap air dan sekiranya tukang ingin cepat menyiapkan kerjanya, mereka tidak mahu membuang masa merendam jubin ke dalam air selama 30 minit. Jubin-jubin jenis kilat menyerap air dan sekiranya tidak direndam, ia akan menyerap air dari simen yang dilepa ke atasnya. Apabila ini berlaku, simen menjadi cepat kering dan simen kurang melekat pada jubin dan lantai. Lama-kelamaan ia akan tertanggal apabila sering dipijak atau apabila objek berat bergerak di atas jubin.

Tanda-tanda Jubin Lantai Yang Akan Rosak

Pernahkah anda mendengar bunyi seakan-akan lompong. Ini dalam bahasa orang kampung aku la. Maksudnya bunyi kosong dibawah jubin lantai terutama sekali dibahagian sisi jubin lantai. Jubin lantai yang berbunyi "kosong" ini perlu dibaiki dengan segera, jika tidak, lama-kelamaan ia akan melarat dan akan pecah sekiranya objek berat selalu menimpanya. Lebih memburukkan keadaan sekiranya kerap berlaku objek berat terhempas ke atasnya. Sekiranya ini berlaku, jubin lantai akan terpatah dan anda terpaksa menggantikan jubin lantai dengan kepingan yang baru. Masalahnya jika jubin pecah selepas 2 tahun setelah dipasang, mungkin agak sukar mencari jenis jubin yang sama.


Membaiki Jubin Lantai

Saya kongsikan di sini cara-cara membaiki jubin lantai yang rosak. Membaikinya tidaklah sesukar manapun. Tidak perlu kemahiran yang tinggi. Saya pun hanya melihat sekali sahaja bagaimana tukang Indon membaiki sekeping lantai jubin yang rosak di rumah saya. 


Peralatan yang diperlukan adalah mesin grinder, simen, scrapper, baldi, air, tukul besi (kalau tiada boleh guna kayu), kain yang dibasahkan, pengelap lantai, vacuum cleaner, penutup mulut/hidung.

Langkah 1 : 
Pastikan grinder dalam keadaan baik. Besi pemotong tidak bergoyang ke kiri ke kanan untuk memastikan satu garisan lurus yang nipis dapat dihasilkan. Pernah terjadi kepada saya apabila garisan yang dihasilkan agak melebar dan sudah tentulah nampak tidak cantik jika dibandingkan dengan garisan-garisan jubin yang lain. Rupa-rupanya besi pemotong tidak dipasang dengan kemas dan ia bergoyang-goyang ketika berputar.

Pastikan juga grinder di pegang apabila suis soket 3-pin di dinding dihidupkan. Berlaku juga kepada saya apabila suis di grinder dalam keadaan "ON" tetapi saya hanya mematikan suis soket 3-pin di dinding. Apabila saya ingin menyambung kerja, saya hidupkan suis soket 3-pin yang berada di dinding rumah saya dan kelam-kabut saya dibuatnya. Kenapa? Suis grinder yang dalam keadaan "ON" menyebabkan besi pemotong berputar dan grinder terloncat-loncat. Sepantas-kilat saya "OFF"kan suis soket 3-pin tetapi sudah terlewat. Kenapa? Sewaktu grinder terloncat-loncat, banyak jubin yang rosak akibat terkena hirisan besi pemotong.


Langkah 2 : 
Sebagai langkah keselamatan, gunakan penutup mulut/hidung kerana kesan pemotong jubin menggunakan grinder akan menghasilkan debu yang banyak. Sebaik-baiknya basahkan penutup mulut/hidung untuk memerangkap debu. Juga, basahkan lantai dengan sedikit air untuk memerangkap habuk.

Langkah 3 : 
Dengan menggunakan grinder, anda perlu memutuskan garisan penyambung jubin disepanjang kawasan yang berbunyi kosong sepertimana gambar disebelah. Tidak perlu memotong keseluruhan garisan. Sekiranya kawasan yang berbunyi kosong hanya sekitar 3 inci, maka, anda hanya perlu grind sekitar 4 inci sahaja. Kedalaman yang perlu dibuat adalah sekitar 1 inci bergantung kepada jenis jubin yang dipasang. Sebagai contoh jubin 2' X 2' lebih tebal dari 1' X 1'. Apa yang ingin dicapai disini ialah memastikan besi pemotong lantai mencecah permukaan lantai sebelum jubin dipasang.

Langkah 4 :
Habuk yang berada didalam garisan yang dipotong mestilah dibersihkan. Gunakan vacuum cleaner untuk menyedut habuk yang terperangkap di situ. Ini untuk memastikan simen yang dicurah ke dalam lubang garisan, dapat masuk dalam kuantiti yang maksimum.

Langkah 5 :
Bancuh simen dalam nisbah air yang banyak. Bancuh cair-cair untuk pastikan ia boleh meresap masuk ke dalam garisan yang telah dipotong. Sebaik-baiknya campur sedikit simen gam. Anda boleh beli simen dan simen gam dalam kuantiti sedikit. Jika tidak silap saya harga sekilo sekitar 3-5 ringgit sahaja. 


cara membaiki jubin lantai yang longgar
Cara Membaiki Jubin Lantai Yang Longgar
Selepas itu curahkan simen ke dalam garisan yang telah dipotong dan menggunakan bahagian belakang tukul besi, ketukkan lantai dalam kadar ketukan yang sederhana. Apabila ada ketukan, akan menyebabkan simen mudah masuk dan kita juga dapat merasakan bunyi "kosong" beransur-ansur bertukar kepada bunyi yang padat. Pastikan bahagian belakang tukul besi adalah jenis kayu. Jangan guna dari jenis besi kerana dikhuatiri akan pecah pula jubin apabila diketuk. Kalau tiada tukul besi, gunakan kayu yang sesuai saiznya. Membaiki jubin lantai perlukan kesabaran kerana anda perlu mengetuk jubin perlahan-lahan dalam tempoh yang lama untuk memastikan simen masuk ke garisan yang dipotong dalam jumlah yang maksima.

Langkah 6 : 
Setelah bunyi "kosong" tiada lagi kedengaran, pastikan bahagian jubin lantai yang dibaiki tidak dilalui oleh sesiapapun selama 24 jam. Letakkan kerusi atau kotak ringan di atas untuk memastikan penghuni rumah mengetahui kawasan tersebut tidak boleh dilalui. Sebaik-baiknya 4 keping jubin disekilingnya tidak boleh dilalui. Pernah main Minesweeper? Konsep sekeliling sama macam permainan Minesweeper.

Langkah 7 :
Yang ini arahan dari permaisuri. "Abang ni tau menyepah aje...dah buat kerja tu...kemaslah barang-barang". Jadi, kemaslah barang-barang yang digunakan terutamanya simen lebihan dalam baldi. Akan keras simen tersebut sekiranya dibiarkan.

Ok, itu sahaja tatacara membaiki jubin lantai yang rosak. Ada beberapa lagi tips-tips membaiki rumah yang akan saya kongsikan. Selalu-selalulah jengok blog ini. Saya taklah pandai sangat tapi saya suka kerja-kerja D-I-Y.

9 comments:

  1. Alhamdullilah. Mudah aje nampak yae.tq

    ReplyDelete
  2. boleh dapatkan no telefon?

    ReplyDelete
  3. terima kasih info2 bermanfaat cam ni pasal repair rumah

    ReplyDelete
  4. saya nak tanya bahagian tepi atas mangkuk tandas saya pecah..saya macam mana saya boleh baiki?saya tak mampu nak ganti baru..bahagian lain tak jejas..tandas saja jenis cangkung..

    ReplyDelete
  5. Bagaimana dengan masalah jubin lantai ada mengeluarkan air seperti gam pada garisan2 celah jubin?

    ReplyDelete
  6. kalau jubin terangkat mcm mana nk buat

    ReplyDelete
  7. Jubin saya dah terangkat..ada cara bauki x

    ReplyDelete

Ada sesuatu yang ingin anda kongsikan?

Cara Membina Kolam Ikan Dibawah 1000 Ringgit

Hobi membela ikan kolam makin diminati oleh orang ramai khususnya bagi mereka yang tinggal di rumah teres mahupun banglo. Jika tinggal di ap...