Dalam setiap rumah yang ingin diubahsuai, sekiranya ia melibatkan pengalihan meter atau penambahan sisi rumah dibahagian tepi, maka, khidmat TNB diperlukan untuk melakukan kerja-kerja pengalihan tersebut. Lihat gambar dibawah ini.
Apabila ada penambahan binaan dibahagian tepi rumah, punca bekalan masuk elektrik dari tiang TNB perlu dialihkan ke tapak baru. Jika anda melakukan urusan terus dengan pihak TNB, kosnya lebih murah berbanding jika anda meminta pihak kontraktor yang menguruskannya. Sudah tentu kontraktor akan memasukkan komisyen mereka ke dalam sebutharga. Prosidur permohonannya juga tidaklah sesukar manapun.
Apa yang perlu anda lakukan ialah pergi ke pejabat TNB kawasan dan anda akan diminta untuk mengisi borang permohonan. Dail 1300-88-5454 untuk pertanyaan berkenaan pejabat TNB kawasan yang terdekat dengan tapak projek. Bawa juga bil elektrik supaya mudah mengisi nombor akaun. Selepas itu, pihak TNB akan menghantar staf mereka ke tapak projek untuk membuat pengiraan harga. Harga adalah berdasarkan panjang kabel yang perlu disambung. Jangan bimbang, mereka akan menelefon anda terlebih dahulu untuk memastikan anda berada di tapak projek.
Anda perlu tunggu sehingga mendapat panggilan telefon dari pihak TNB berkenaan kos mengalih kabel letrik dan sekiranya anda bersetuju, anda perlu pergi ke pejabat TNB kawasan untuk membuat bayaran dan seterusnya work order akan dikeluarkan. Pihak TNB akan menelefon anda untuk memastikan anda atau wakil anda berada di tapak projek bagi melaksanakan kerja-kerja mengalih kabel letrik. Keseluruhan proses ini hanya mengambil masa kurang dari 3 minggu.
Dan juga, sekiranya meter ingin dialihkan, anda perlu mendapatkan khidmat wireman untuk melakukan kerja pengalihan papan meter SEBELUM pihak TNB tiba untuk mengalihkan kabel letrik. Tugas TNB hanyalah mengalih dan menyambung kabel letrik sehingga ke papan meter sahaja.